Tempoh Bayaran Cukai Tanah Pahang Dilanjutkan Hingga 30 Jun 2026
Kerajaan Negeri Pahang bersetuju melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah bagi tahun 2026 sehingga 30 Jun ini, berbanding tarikh asal pada 31 Mei setiap tahun.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelanjutan itu diberikan bersama pengecualian denda lewat sebanyak 10 peratus daripada jumlah cukai tanah semasa yang sepatutnya dikenakan kepada pembayar yang gagal menjelaskan bayaran mengikut tempoh asal.
Menurutnya yang juga Naib Presiden UMNO, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira tempoh cuti yang agak panjang sepanjang bulan Mei bagi memberi ruang dan kemudahan kepada rakyat untuk menyelesaikan bayaran cukai tanah masing-masing.
“Cukai tanah merupakan tanggungjawab penting setiap pemilik tanah dan hasil kutipan tersebut membantu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai agenda pembangunan, penyediaan infrastruktur, kebajikan rakyat serta perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat Pahang secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyeru semua pembayar cukai agar memanfaatkan tempoh lanjutan itu untuk menjelaskan bayaran masing-masing dengan segera bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan pada masa akan datang.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang komited memastikan tadbir urus hasil negeri berada pada tahap terbaik demi menjamin kestabilan kewangan negeri serta kelangsungan agenda pembangunan untuk manfaat seluruh rakyat.
Apa Reaksi Anda?











