Strategi Politik Negeri dan Persekutuan Boleh Berbeza, Bukan Sesuatu Yang Luar Biasa
Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak bercanggah dengan kerjasama yang terjalin bersama Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan, kata Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Menurut beliau, strategi politik yang berbeza antara peringkat negeri dan Persekutuan merupakan amalan yang lazim berlaku dalam sistem politik demokrasi, khususnya negara yang mengamalkan politik gabungan.
“Ada yang melihat keputusan BN bertanding secara solo di Johor sebagai tidak selari dengan kerjasamanya bersama PH di Putrajaya. Sebenarnya, keadaan seperti ini bukan sesuatu yang luar biasa dalam politik gabungan.
“Di peringkat Persekutuan, BN dan PH bekerjasama kerana realiti politik memerlukan majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan yang stabil. Di Johor pula, BN merasakan mereka mempunyai kekuatan untuk mendapatkan mandat rakyat atas kapasiti sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan.
Salleh menjelaskan, situasi seumpama itu turut berlaku di beberapa negara lain apabila parti-parti politik memilih pendekatan berbeza mengikut keperluan dan landskap politik setempat.
“Di Jerman, parti-parti utama sering bersaing dalam pilihan raya tetapi kemudiannya membentuk kerajaan gabungan apabila tiada parti memperoleh majoriti yang jelas. Di India, parti yang bekerjasama di peringkat nasional kadangkala bertanding sesama sendiri di peringkat negeri. Di Australia pula, strategi politik sering berbeza antara negeri dan Persekutuan.
“Ini menunjukkan bahawa kerjasama politik selepas pilihan raya dan persaingan semasa pilihan raya boleh berlaku secara serentak dalam sistem demokrasi yang matang,” ujarnya.
Beliau turut mengimbau pengalaman politik di Sabah yang menyaksikan situasi hampir sama berlaku pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2020.
“Sabah juga pernah melalui situasi yang hampir sama. Dalam PRN Sabah 2020, BN, GRS dan Warisan bersaing untuk mendapatkan mandat rakyat. Selepas pilihan raya, BN memilih untuk menyertai kerajaan negeri bersama GRS manakala Warisan kekal sebagai pembangkang,” katanya.
Tambah beliau, dalam sesebuah demokrasi, mandat rakyat yang diterjemahkan melalui keputusan pilihan raya menjadi faktor utama dalam menentukan bentuk kerjasama politik selepas pilihan raya.
“Akhirnya, politik ditentukan oleh mandat rakyat dan bilangan kerusi yang diperoleh. Parti politik boleh menjadi pesaing semasa pilihan raya dan bekerjasama selepas pilihan raya apabila keadaan memerlukan.
“Yang penting ialah kestabilan kerajaan dan keupayaan untuk mentadbir dengan berkesan,” katanya lagi.
Apa Reaksi Anda?











