Kegagalan Berulang Pas, Rakyat Terengganu Terus Dibebani Janji Kosong

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Nerus, Wan Noorislam Wan Hashim mengecam pentadbiran Pas di Terengganu atas kegagalan berulang dalam menyelesaikan masalah asas rakyat serta menyampaikan pembaharuan yang dijanji.
Menurut beliau, walaupun Pas telah memerintah negeri itu selama lebih satu dekad, slogan “Membangun Bersama Islam” masih belum diterjemahkan kepada hasil nyata untuk rakyat.
“Kegagalan demi kegagalan ini membuktikan bahawa Pas tidak mampu mentadbir negeri dengan profesionalisme dan kecekapan. Rakyat Terengganu sudah terlalu lama dibebankan dengan janji manis tanpa hasil.
“UMNO/Barisan Nasional (BN) memandang serius kegagalan berterusan kerajaan negeri Terengganu yang ditadbir oleh Pas dalam mengurus hal ehwal rakyat secara berkesan dan bertanggungjawab.
“Membangun Bersama Islam” hanya tinggal retorik tanpa hasil nyata kepada kesejahteraan rakyat. Di sebalik dakwaan kemajuan, hakikatnya Terengganu semakin tertinggal dalam pelbagai aspek asas pentadbiran,” katanya menerusi satu kenyataan.
Wan Noorislam dalam pada itu menggariskan beberapa isu yang sering dihadapi rakyat termasuk isu air, kegagalan menarik pelaburan dan menjana peluang pekerjaan.
Katanya lagi, rakyat juga dibelenggu dengan kelemahan tadbir urus oleh kepimpinan negeri sehinggakan retorik agama menggantikan prestasi.
“Rakyat Terengganu terus berdepan dengan krisis bekalan air yang berulang saban tahun. Janji-janji penyelesaian hanya tinggal di atas kertas, sedangkan tanggungjawab asas kerajaan negeri ialah memastikan keperluan asas rakyat dipenuhi.
“Pentadbiran PAS gagal menarik pelaburan baharu berskala besar ke negeri ini. Akibatnya, ramai anak muda berhijrah ke luar negeri untuk mencari kerja, sementara ekonomi tempatan tidak berkembang dengan mampan
“Ketiadaan dasar pembangunan jangka panjang yang jelas menyebabkan negeri kaya sumber seperti Terengganu gagal memanfaatkan potensi hasil bumi dan sektor pelancongan secara optimum. Kebergantungan berlebihan kepada hasil minyak tanpa diversifikasi menjadikan ekonomi negeri rapuh.
“Pas lebih gemar berpolitik atas nama agama daripada menunjukkan kecekapan pentadbiran. Islam dijadikan slogan, tetapi integriti pentadbiran, kecekapan pengurusan, dan kemajuan rakyat terus diabaikan,” ujar beliau.
Beliau juga menegaskan bahawa rakyat Terengganu berhak mendapat pentadbiran yang cekap, berwawasan dan bertanggungjawab dan bukan kerajaan yang hanya pandai menuding jari dan berdalih atas nama agama.
Apa Reaksi Anda?






