“PPBM Makin Lemah, Nama ‘Bersatu’ Tapi Bercerai-berai”
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyindir konflik dalaman yang sedang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ketika ini, dan menggesa ahli parti itu kembali ke pangkuan UMNO.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata, pergolakan dalaman PPBM kini jelas menunjukkan kelemahan kepimpinan parti itu sekaligus membuktikan bahawa matlamat asal parti itu untuk menggantikan UMNO gagal dicapai.
“Kembalilah kepada UMNO.
“Ini bukan soal gila talak. Tapi Bersatu sendiri sudah bercerai berai,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook
Menurut Puad, konflik ini berpunca daripada perebutan kuasa di peringkat kepimpinan PPBM, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad disingkirkan, kini giliran Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadapi cabaran dalaman.
Malah katanya, penubuhan PPBM sebenarnya bertujuan untuk menandingi dan menggantikan UMNO, tetapi kegagalan kepimpinan membuatkan parti itu kini berpecah-belah.
“Ada orang bising, kenapa saya sibuk sibuk pasal rumah tangga Bersatu. Apa masalahnya? Bersatu adalah lawan UMNO yang tumbangkan UMNO di PRU ke 14 tahun 2018.
“Bahkan penubuhan Bersatu memang untuk membunuh dan menggantikan UMNO. Tetapi Tun M dan Muhyiddin gagal. Tun M sudah ditendang dari Bersatu. Kini giliran Muhyiddin pula.
“Sudah tentu saya akan memastikan Bersatu tutup kedai. Wan Ahmad Fayhsal mendedahkan kepada Sinar Harian, Hamzah akan menang jika dia lawan Muhyiddin. Hamzah kata Waf spend banyak duit untuk parti. Muhyiddin pula sukar didekati.
“Pokoknya Hamzah tidak mempunyai peluang untuk lawan Muhyiddin. Tapi ramai ahli Parlimen memihak kepadanya. Dia boleh guna senjata itu untuk tawar menawar,” ujar beliau.
Media sebelum ini melaporkan, Lembaga Disiplin PPBM memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian selama satu penggal Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Hukuman terhadap mereka berdua berhubung isu Akuan Bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.
Apa Reaksi Anda?











