Hentikan Permainan Persepsi: Seruan Tegas MB Pahang Demi Perpaduan Rakyat
Permainan persepsi, fitnah, dan tohmahan bukan sekadar isu kecil ia adalah racun yang perlahan-lahan menghakis kepercayaan rakyat, memecah-belahkan masyarakat, dan menggugat kestabilan negeri serta negara. Itulah amaran tegas yang disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail dalam sesi penangguhan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, semalam.
Belian memberi contoh tentang taktik kotor terbaru persepsi kononnya pentadbiran negeri ini perlu “dikembalikan” kepada orang Melayu dan Islam. Beliau menegaskan, naratif seperti ini sangat berbahaya kerana ia akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, meniup sentimen agama dan perkauman, mengancam perpaduan yang telah lama dipertahankan.
“Elakkanlah perpecahan yang hanya akan merugikan rakyat. Jangan biarkan perbezaan pandangan memutuskan silaturahim, apatah lagi mencetuskan permusuhan,” tegas beliau.
Menyentuh sambutan Hari Kebangsaan, Wan Rosdy mengingatkan bahawa Ogos bukan sekadar bulan perayaan kemerdekaan, tetapi juga simbol penyatuan rakyat. Tahun ini, tema ‘Malaysia Madani, Rakyat Disantuni’ menjadi seruan untuk kita melihat kekuatan negara bukan hanya pada kemajuan ekonomi, tetapi juga pada kasih sayang, hormat-menghormati, dan kepedulian terhadap sesama rakyat.
“Hubungan erat antara masyarakat berbilang bangsa dan agama adalah aset yang tidak ternilai yang bukan sekadar simbol kemerdekaan, tetapi lambang keamanan dan kesejahteraan negara,” ujarnya.
Dalam persidangan sama, DUN Pahang meluluskan belanjawan tambahan bernilai RM141 juta ia merupakan antara jumlah terendah sejak 2022. Peruntukan ini meliputi tujuh komponen, termasuk kenaikan gaji penjawat awam dan pembayaran pencen pesara kerajaan.
Wan Rosdy menjelaskan, ini adalah perbelanjaan wajib yang tidak dapat dielakkan, malah langkah seperti ini adalah amalan biasa setiap kerajaan negeri.
Lebih membanggakan, kedudukan kewangan Pahang semakin kukuh apabila hutang negeri berjaya dikurangkan daripada RM3.2 bilion pada 2018 kepada hanya RM900 juta pada 2025.
Seruan Menteri Besar Pahang ini adalah peringatan jelas bahawa perpaduan dan keharmonian adalah aset terbesar kita. Fitnah dan permainan persepsi hanya membawa padah, sedangkan kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat memerlukan kita bersatu, bukannya berpecah.
Apa Reaksi Anda?











