Politik Perlu Menyatukan, Bukan Memisahkan
Politik seharusnya menjadi medium untuk menyatukan rakyat, bukan memisahkan antara satu sama lain, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beliau berkata, UMNO tidak pernah menghalang mana-mana ahlinya untuk berjumpa atau berhubung dengan individu yang telah digantung atau dibuang daripada parti, termasuk dalam aktiviti sosial seperti bersukan.
“UMNO bukan setakat tidak menghalang mana-mana ahli untuk berjumpa dengan ahli parti yang digantung atau dibuang, tetapi tidak juga menghalang untuk bersukan bersama. Politik jangan memisahkan, tetapi perlu menyatukan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Menerusi perkongsian itu juga, Dr Akmal turut meletakkan gambarnya dalam satu acara larian bersama mantan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dikenakan tindakan disiplin parti.
Beberapa hari lalu memetik laporan, Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilapor mengeluarkan surat pekeliling kepada kepimpinan parti itu agar tidak terlibat dengan mana-mana individu yang telah dikenakan tindakan disiplin oleh lembaga disiplin parti.
Dalam surat berkenaan, Azmin turut mengingatkan bahawa sebarang bentuk penganjuran, perjumpaan atau perbincangan dengan individu yang dijatuhkan hukuman dianggap sebagai pelanggaran serius terhadap perlembagaan dan kod etika parti.
Apa Reaksi Anda?











