Azmin Cuba Putar Belit, Tengku Zafrul Bongkar Fakta Sebenar ART
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekali lagi mencetuskan kekeliruan apabila mendakwa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sebagai perjanjian yang “menggadaikan kedaulatan negara”.
Namun, dakwaan itu segera dipatahkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang menegaskan bahawa kenyataan Azmin adalah fitnah politik murahan dan tidak berasaskan kefahaman sebenar terhadap dokumen perjanjian.
Menurut Tengku Zafrul, Azmin hanya memetik sekerat ayat daripada Klausa 5.1 dan cuba menimbulkan persepsi kononnya Malaysia tunduk kepada Amerika Syarikat.
“Kalau baca perjanjian, kena baca penuh, jangan baca sekerat. Dia cuma petik ayat pertama dan sebahagian ayat kedua,” tegas Tengku Zafrul melalui hantaran di Facebook.
Klausa yang dimaksudkan sebenarnya menjelaskan bahawa Malaysia hanya akan mengambil langkah sekatan “bagi menangani kebimbangan ekonomi dan keselamatan negara secara bersama” bukannya mengikut telunjuk Amerika Syarikat.
“Kata kunci di sini ialah bersama. Jika isu sekatan hanya melibatkan kepentingan ekonomi dan keselamatan AS tanpa menjejaskan Malaysia, maka kita tidak perlu ikut,” jelas beliau.
Penjelasan itu sekaligus memalukan Azmin, yang nampaknya lebih berminat mencari publisiti politik daripada memahami isi sebenar perjanjian yang boleh memberi manfaat kepada ekonomi negara.
Pemerhati ekonomi turut berpandangan bahawa dakwaan Azmin hanyalah cubaan terdesak PN untuk menanam persepsi negatif terhadap usaha kerajaan memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas perdagangan antarabangsa.
Hakikatnya, di saat kerajaan sedang sibuk menarik pelaburan, membuka peluang pekerjaan dan memperkukuh hubungan diplomatik, pembangkang pula sibuk mencipta naratif kebencian dan memanipulasi fakta.
Langkah Azmin menyerang ART hanyalah taktik lapuk PN yang semakin kehilangan arah dan isu. Mereka tidak lagi mempunyai modal politik kukuh, lalu memilih jalan mudah untuk menyerang apa sahaja yang dilakukan kerajaan, biarpun tanpa asas.
Rakyat kini semakin bijak menilai. Tuduhan tanpa fakta hanya memperlihatkan betapa pembangkang semakin terdesak untuk kekal relevan, manakala kerajaan terus bergerak ke hadapan membina keyakinan pelabur dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Apa Reaksi Anda?











