Langkah kanan beregu lelaki negara di Jerman
Dua beregu badminton utama lelaki negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua kejohanan Terbuka Hylo Super 500 2025, selepas menumpaskan lawan masing-masing dalam aksi pembukaan di Saarlandhalle, Saarbrückenn
Beregu nombor dua dunia, Aaron–Wooi Yik, mempamerkan ketenangan serta kematangan permainan untuk menundukkan gandingan muda England, Alex Green–Zach Russ, 25-23, 21-14 dalam masa 40 minit - sekali gus meraih kemenangan sulung dalam rekod pertemuan mereka.
Gandingan berpengalaman negara itu akan berdepan pasangan kembar dari Republik Czech, Jiri Kral–Ondrej Kral yang mara selepas menewaskan wakil tuan rumah, Jonathan Dresp–Simon Krax, 21-16, 21-10.
Sementara itu, pasangan ranking keempat dunia, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin, turut memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan beregu Scotland, Alexander Dunn–Adam Pringle, 21-17, 22-20 dalam tempoh 33 minit.
Kemenangan itu turut memberi kelebihan awal kepada Fei–Din yang kini mendahului 1–0 dalam rekod pertemuan dengan pasangan lawan tersebut.
Beregu profesional negara itu dijadualkan berdepan cabaran wakil Denmark, Daniel Lundgaard–Mads Vestergaard, yang menyingkirkan pasangan Perancis, Julien Maio–William Villeger, 23-21, 21-19.
Apa Reaksi Anda?











