Afrika Selatan dibatalkan kemenangan, FIFA sahkan langgar peraturan

Oleh : BARD
Oktober 1, 2025 - 09:00 MYT
Afrika Selatan dibatalkan kemenangan, FIFA sahkan langgar peraturan

Afrika Selatan dibatalkan kemenangan mereka dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Lesotho selepas didapati menurunkan pemain tidak layak, umum Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Kemenangan 2-0 pasukan itu pada 21 Mac lalu di Polokwane kini dibatalkan dan digantikan dengan kekalahan 0-3.

Keputusan itu menyebabkan Afrika Selatan jatuh ke tangga kedua Kumpulan C saingan kelayakan zon Afrika, di belakang Benin menerusi beza jaringan manakala Lesotho kekal di kedudukan kelima.

Menurut Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Afrika Selatan melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA selepas menurunkan Teboho Mokoena walaupun pemain tengah itu sudah mengumpul dua kad kuning ketika menentang Benin dan Zimbabwe sebelum ini.

Menteri Sukan Afrika Selatan, Gayton McKenzie menyifatkan hukuman itu sebagai amat mengecewakan dan memalukan negara.

“Kami akui situasi ini menjejaskan nama baik Afrika Selatan dan kami perlu bertanggungjawab penuh untuk menanganinya.

“Kami berterima kasih kepada FIFA kerana bertindak segera tanpa membuat kami tertunggu-tunggu dalam ketidakpastian.

“Namun fokus utama kini adalah memberi sokongan padu kepada skuad kebangsaan menjelang dua aksi penting pada Oktober.

“Pasukan telah bermain dengan penuh semangat dan tekad untuk memburu tiket Piala Dunia tahun depan, dan mereka berhak menerima sokongan tidak berbelah bahagi. Pemotongan mata ini hanya halangan kecil dan kami percaya laluan ke Piala Dunia masih terbuka.

“Kementerian saya akan mengetuai siasatan menyeluruh terhadap kelemahan yang membawa kepada hukuman ini,” katanya.

Dalam masa sama, Persatuan Bola Sepak Afrika Selatan (SAFA) turut diarahkan membayar denda namun masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow