Erick Thohir nafi Indonesia campur tangan isu FAM, tujuh pemain warisan

Oleh : BARD
September 30, 2025 - 14:00 MYT
Erick Thohir nafi Indonesia campur tangan isu FAM, tujuh pemain warisan

Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir menafikan tuduhan bahawa Indonesia terlibat dalam keputusan FIFA menjatuhkan hukuman terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain naturalisasi Harimau Malaya.

FIFA sebelum ini mengenakan denda ke atas FAM serta menggantung tujuh pemain warisan daripada beraksi selama setahun susulan isu dokumen ketika skuad negara berdepan Vietnam pada Kelayakan Piala Asia pada Jun lalu.

Namun, sejurus pengumuman itu dibuat pada Jumaat, timbul dakwaan beberapa pihak bahawa Indonesia campur tangan dalam keputusan berkenaan.

Erick yang juga Menteri Pemuda dan Olahraga (Menpora) menegaskan Indonesia sama sekali tidak terlibat.

“Kami tidak intervensi, tidak ikut campur isu-isu negara lain,” katanya.

Beliau menjelaskan, Indonesia menghormati semua negara Asia Tenggara yang berusaha meningkatkan mutu sukan masing-masing.

“Kita harus hargai setiap negara di rantau ini yang mahu olahraganya maju. Dari pihak kami di Kemenpora, kami hanya fokus majukan sukan Indonesia,” ujarnya.

Tambah Erick Thohir, Indonesia hanya mahu memberi tumpuan mengangkat prestasi sukan tanah air di pentas dunia tanpa mencampuri urusan politik atau dasar negara lain.

“Kami mahu bola sepak lebih baik, mahu badminton hebat, pencak silat mendunia. Itu fokus kami, bukan intervensi isu luar,” katanya.

Terdahulu, FIFA dalam kenyataan rasmi mengesahkan FAM melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Badan induk bola sepak dunia itu turut mengenakan denda sebanyak 350,000 CHF (RM1.8 juta) kepada FAM serta 2,000 CHF (RM10,600) kepada setiap pemain terbabit.

Tujuh pemain warisan Malaysia yang digantung ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Imanol Machuca, Gabriel Palmero, Facundo Garces dan Rodrigo Holgado.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow