Tarif Air Membebankan: UMNO Kuala Nerus Gesa SATU Segerakan Kajian

Penerangan UMNO Bahagian Kuala Nerus menggesa Syarikat Air Terengganu (SATU) untuk menyegerakan kajian semula tarif bekalan air yang dilihat semakin membebankan rakyat di negeri itu.
Ketuanya, Wan Noorislam Wan Hashim berkata, kajian semula itu perlu dilaksanakan memandangkan Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah pun memberikan arahan.
“Penerangan UMNO Bahagian Kuala Nerus mengesa pihak SATU untuk menyegerakan kajian semula tarif air yang membebankan rakyat.
“Ia seperti arahan Kerajaan Negeri dibawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Menteri Besar. Apatah lagi beliau sendiri adalah Pengerusi SATU,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ujarnya, janji Kerajaan Negeri Terengganu untuk memberikan bekalan air secara percuma kepada rakyat adalah satu pembohongan yang nyata.
“Rakyat sudah tidak mampu lagi menanggung beban sejak kenaikan tarif air Ogos 2025 yang lalu. Oleh itu, tidak wajar pihak SATU dan juga kerajaan negeri melengah-lengahkan kajian baharu untuk meneliti semula kadar bayaran yang tidak membebankan rakyat.
“Kerajaan Negeri pimpinan beliau tidak wajar bersandiwara atau berdolak dalih kerana Kerajaan Negeri dan SATU kedua-duanya adalah dibawah ketua yang sama iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri.
“Ternyata janji-janji pilihan raya untuk menawarkan air percuma kepada rakyat terengganu dahulu adalah satu pembohongan yang nyata,” katanya lagi.
Pada 24 September media melaporkan Kerajaan Terengganu mengarahkan SATU meneliti semula pelarasan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu selepas mengambil kira aduan serta rintihan rakyat yang terkesan dengan kenaikan itu.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zulkifli Ali berkata, mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada Rabu telah membincangkan perkara berkenaan secara menyeluruh dengan mengambil kira pertimbangan adil untuk semua pihak.
Menurutnya, isu beban kenaikan kos sara hidup rakyat ekoran pelarasan tarif serta peningkatan kos operasi yang ditanggung SATU menjadi antara fokus utama perbincangan kerajaan negeri.
Apa Reaksi Anda?






