Belia Jadi Pemacu Pertanian Moden: Sokong Agenda Keselamatan Makanan Pahang
Penglibatan belia dalam sektor pertanian semakin menyerlah di Pahang, sekali gus membantu agenda keselamatan makanan negeri serta memperkasa usaha Kerajaan Negeri membangunkan sektor agro sebagai nadi ekonomi masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, perkembangan ini memberi isyarat positif bahawa pertanian kini bukan lagi dianggap sebagai bidang tradisional semata-mata, sebaliknya mampu menarik minat generasi muda untuk menjadikannya kerjaya dan perniagaan yang berdaya maju.
Menurut beliau, antara contoh belia yang berjaya ialah Encik Muhammad Qayyum, seorang pengusaha tanaman fertigasi sayuran yang mengusahakan bayam, maman, sawi bunga dan pelbagai jenis sayuran lain.
Kesungguhan beliau untuk mengembangkan projeknya membuktikan bahawa belia mampu menjadi ikon baharu dalam bidang agro. Malah, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Pahang akan terus memberikan sokongan dan bantuan agar lebih ramai anak muda mengikuti jejak langkah seumpama itu.
“Di sini kita lihat penglibatan pemuda begitu ramai. Saya amat terharu kerana pertanian semakin diminati golongan muda, dan usaha mereka wajar dijadikan contoh untuk generasi lain. Insya-Allah, dengan bimbingan dan sokongan kerajaan, kita mahu lebih ramai belia tampil sebagai peneraju sektor ini,” katanya.
Beliau menegaskan, penyertaan belia dalam bidang agro bukan sahaja mampu menjana pendapatan sendiri, malah berperanan besar dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negeri dan negara.
Setiap projek, meskipun bermula secara kecil, berpotensi dikembangkan secara berperingkat hingga mampu menembusi pasaran tempatan dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.
“Dengan usaha anak muda, saya yakin agenda keselamatan makanan akan berada di landasan tepat. Bermula dengan skala kecil, usaha itu boleh berkembang menjadi projek besar yang mampu bersaing, malah hasil tempatan juga berpeluang dipasarkan di pasaraya premium,” jelasnya.
Kerajaan Negeri Pahang turut menyedari bahawa sektor pertanian moden bukan lagi sekadar aktiviti sara diri, sebaliknya sebahagian daripada strategi pembangunan ekonomi negeri. Melalui penggunaan teknologi seperti fertigasi, hidroponik, dron pertanian dan sistem pintar, sektor ini semakin relevan kepada belia yang mahukan cabaran serta pulangan kompetitif.
Selain itu, penglibatan belia juga penting dalam memastikan negara tidak terlalu bergantung kepada import makanan. Apabila bekalan makanan asas dihasilkan sendiri dalam jumlah mencukupi, ia dapat mengurangkan risiko krisis harga global, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat.
Penglibatan belia dalam pertanian bukan sahaja membuka peluang ekonomi baharu, malah menjadi kunci utama menjayakan agenda keselamatan makanan Pahang. Dengan sokongan kerajaan negeri, golongan muda diyakini mampu menjadi peneraju pertanian moden serta menjadikan Pahang sebagai hab agro yang berdaya saing di masa hadapan.
Apa Reaksi Anda?











