I.M Pahang Kluster Siswa 2025 Dan Agenda Pendidikan Negeri: Tiada Anak Pahang Tercicir

Kerajaan Negeri Pahang terus membuktikan komitmen terhadap masa depan generasi muda melalui pelbagai inisiatif pendidikan. Terbaharu, Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) Kluster Siswa 2025 sekali lagi memberi manfaat kepada mahasiswa negeri ini yang kini memasuki tahun keempat pelaksanaannya.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan berjumlah RM400 seorang ini mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah pihak, namun cukup signifikan dalam membantu mahasiswa menampung kos asas kehidupan ketika menuntut ilmu.
“Ia bukan sekadar nilai wang, tetapi simbol kasih sayang dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap masa depan anak-anak Pahang,” katanya ketika menyampaikan bantuan kepada 98 mahasiswa dari kawasan DUN Jelai.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha ini adalah sebahagian daripada Aspirasi Pahang 1st, gagasan besar kerajaan negeri yang menjamin tiada anak Pahang akan tercicir dalam pendidikan hanya kerana kekangan kewangan.
Selain Kluster Siswa, kerajaan negeri telah menyalurkan pelbagai bentuk sokongan pendidikan merangkumi semua peringkat umur dan latar belakang.
Antara bantuan pendidikan yang telah disalurkan adalah:
Bantuan Prihatin Pahang Siswa (BPP / I.M Pahang): RM400 kepada mahasiswa IPTA/IPTS, politeknik, kolej komuniti dengan peruntukan RM8 juta untuk 20,000 penerima (2025).
Bantuan Awal Persekolahan (BAP): RM150 seorang untuk lebih 233,000 murid sekolah rendah & menengah, dengan tambahan RM100 untuk pelajar Tahun 1, Tingkatan 5 & 6.
Bantuan Yuran Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP): Membiayai sepenuhnya kos yuran & perbelanjaan pelajar B40/asnaf; lebih RM3,000 seorang setahun.
Set Bantuan Tunas Makmur: Pakej peralatan sekolah untuk murid Tahun 1 dan pelajar miskin tegar, bernilai RM100 setiap seorang.
Selain itu Kerajaan Negeri juga telah membuat membangunan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) Kompleks baharu di Lipis bernilai RM15 juta dan dijangka siap pada 2026 sebagai pusat pendidikan tahfiz milik penuh kerajaan negeri.
Yayasan Pahang juga telah menyalurkan biasiswa dan bantuan pendidikan sejak 1982 dengan perbelanjaan melebihi RM1.4 bilion, memberi manfaat kepada ratusan ribu pelajar.
Kerajaan Negeri juga sedang melaksanakan beberapa langkah baharu iaitu:
Perluasan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP): Disasarkan setiap DUN memiliki sekurang-kurangnya satu tadika tahfiz menjelang akhir tahun.
Peningkatan nilai bantuan: Jika kedudukan kewangan negeri bertambah baik, jumlah bantuan untuk mahasiswa akan ditambah lagi.
Pelan Hala Tuju Pendidikan Hijau 2030 (GEP): Memperkenal elemen kelestarian, ESG dan Eco-School dalam sistem pendidikan negeri.
Pengukuhan pendidikan Islam: Memperkasa institusi pendidikan Islam sebagai teras pembentukan insan rabbani, selaras titah Sultan Pahang.
YAB Dato’ Sri Wan Rosdy turut mengingatkan mahasiswa agar memanfaatkan bantuan yang diterima sebaiknya, menggandakan usaha, menghargai pengorbanan ibu bapa serta menjadi duta kecil Pahang di mana sahaja mereka menuntut ilmu.
“Ilmu yang dituntut bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk dikongsi dengan masyarakat demi pembangunan negeri dan negara,” ujarnya.
Gabungan I.M Pahang Kluster Siswa 2025 bersama pelbagai inisiatif lain membuktikan bahawa pendidikan menjadi teras utama dasar pembangunan negeri. Dari murid sekolah rendah hingga mahasiswa universiti, Kerajaan Negeri Pahang komited memastikan tiada anak negeri yang tercicir hanya kerana kekangan kewangan.
Apa Reaksi Anda?






