'Buang rasa malu demi masa depan cucu'
Di sebalik sejarah silam Jalan Wong Ah Jang yang sinonim dengan imej gelap dan kehidupan jalanan, kini wujud sinar baharu menerusi inisiatif pendidikan untuk anak-anak komuniti rentan.
Usaha tersebut digerakkan melalui Pusat Prihatin Pahang hasil kerjasama Yayasan Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang menyediakan bimbingan pendidikan serta pengisian rohani secara percuma kepada golongan berkenaan.
Bagi, Zainab Yunus, 53, walaupun berdepan kehidupan serba kekurangan, perasaan malu diketepikan demi memastikan masa depan cucunya tidak terus tercicir daripada sistem pendidikan.
Menurutnya, cucunya sebelum ini terhenti daripada persekolahan sejak darjah tiga, lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19.
“Pada awalnya memang rasa malu, tetapi saya fikir kalau saya tidak bertindak, masa depan cucu saya akan terjejas.
“Alhamdulillah, bukan sahaja dapat belajar semula, malah makan minum pun disediakan dan saya sangat bersyukur," katanya ketika ditemu di pusat tersebut di sini.
Selain membantu cucunya, Zainab turut memanfaatkan peluang mengikuti kelas agama di pusat berkenaan bagi menambah ilmu.
“Bila umur meningkat..banyak benda yang kita lupa. Tapi di sini saya dapat belajar semula ilmu agama dan menjadi insan lebih baik dari sebelumnya," luahnya.
Seorang lagi ibu, Roslina Rasli, 41, berkata, kekangan kewangan menjadi faktor mendorong menghantar dua anaknya ke pusat berkenaan.
Menurutnya, kos kelas agama swasta yang tinggi tidak mampu ditanggung dengan pendapatan sebagai pembersih di hospital.
“Gaji cukup-cukup makan.. nak hantar kelas luar memang tak mampu, tapi di sini anak-anak tetap dapat belajar dan ada aktiviti.
“Saya juga lihat perubahan positif apabila anak bongsu saya boleh membaca, sekali gus memberi harapan baharu terhadap masa depan mereka,” luahnya.
Sementara itu, penyelia Pusat Prihatin Pahang, Mohd Haikal Mohd Zain berkata, kebanyakan anak-anak gelandangan yang hadir di situ mempunyai potensi dalam pelajaran, namun kekangan utama adalah peluang.
“Setiap daripada mereka ada kelebihan dan kesungguhan untuk berjaya.
"Mereka juga mahu keluar daripada kesulitan hidup dan saya sentiasa ingatkan bahawa ia boleh dicapai melalui pendidikan,” ujarnya.
Menurutnya, pihak pengurusan turut menyediakan keperluan asas termasuk makanan bagi memastikan kebajikan anak-anak tersebut terjaga.
“Kebiasaannya selepas pulang dari sekolah, mereka terus datang ke sini untuk makan dan mengikuti aktiviti termasuk solat berjemaah.
“Ada yang memaklumkan mereka lebih selesa berada di sini kerana di rumah tiada penjaga, selain persekitaran di sini lebih sesuai untuk memberi tumpuan kepada pelajaran,” katanya.
Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Abdul Razak Abu Musa Saari memberitahu, usaha membantu komuniti gelandangan di Jalan Wong Ah Jang berdepan cabaran untuk menyatukan mereka daripada pelbagai latar belakang.
“Cabaran paling besar adalah untuk menyatukan komuniti ini dan memujuk mereka supaya datang mendapatkan bantuan serta melihat kepentingan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu turut disokong kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan MUIP, selain NGO yang membantu dari segi tenaga pengajar dan keperluan asas.
Pusat Prihatin Pahang beroperasi enam hari seminggu dan kini memberi manfaat kepada kira-kira 70 kanak-kanak, selain lebih 100 komuniti sekitar yang turut menyertai aktiviti keagamaan di situ.
Apa Reaksi Anda?











