85% Masalah Air Raub Selesai, Loji Rawatan Air Semantan Diserahkan Kepada PAIP
Jelajah Aspirasi Pahang 1st Daerah Raub semalam menandakan satu pencapaian besar apabila 85 peratus masalah bekalan air di Raub berjaya diatasi dengan siapnya Loji Rawatan Air (LRA) Semantan. Loji tersebut kini secara rasmi diserahkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
Majlis penyerahan disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, yang menegaskan bahawa loji baharu ini akan memberi manfaat kepada lebih 8,000 akaun pengguna di daerah tersebut.
Beliau optimis bahawa sasaran 90 peratus penyelesaian masalah air di Raub akan dicapai sebaik sahaja LRA Bilut pula disiapkan.
“Dengan siapnya LRA Semantan, 85 peratus masalah air di Raub telah diatasi. Apabila LRA Bilut pula siap kelak, insya-Allah 90 peratus masalah akan selesai,” katanya.
Menteri Besar turut menegaskan bahawa kontraktor yang gagal menepati jadual atau bermasalah tidak lagi akan diberi peluang melaksanakan projek baharu di bawah PAIP.
Katanya, kelewatan yang berpunca daripada faktor luar jangka seperti pandemik Covid-19 boleh dipertimbangkan, namun kelewatan akibat kegagalan kontraktor adalah tidak boleh diterima.
“Isu air ini membabitkan rakyat. Bila bekalan terganggu, rakyat marah kepada kerajaan negeri. Jadi kita tidak boleh berkompromi dengan kontraktor yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya.
YAB Menteri Besar turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YH Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari dan seluruh kakitangan PAIP yang bekerja keras memastikan bekalan air terjamin.
“Pegawai dan kakitangan PAIP bekerja siang malam demi menyelesaikan isu air, walaupun ada pihak cuba menafikan usaha ini. Saya yakin dengan komitmen PAIP, sasaran menyelesaikan 90 peratus masalah air di Pahang dapat dicapai,” ujarnya.
Raub antara daerah paling terkesan dengan masalah air sejak beberapa tahun lalu.
Kerajaan Negeri Pahang melalui PAIP giat melaksanakan projek naik taraf loji rawatan air di seluruh negeri termasuk di Bentong, Lipis, Jerantut dan Pekan.
Pada 2024, PAIP telah melaporkan lebih RM1 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf sistem rawatan dan agihan air di seluruh Pahang.
Kerajaan Negeri menyasarkan menjelang 2030, lebih 95 peratus kawasan di Pahang akan menikmati bekalan air bersih yang stabil.
Apa Reaksi Anda?











