‘Biarpun Berbeza Pandangan Politik, Jangan Buat Tuduhan Tanpa Fakta’
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim, menafikan dakwaan tidak berasas membabitkan kawasan itu yang ditimbulkan pihak tidak bertangungjawab.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas berkata, hakikatnya Gua Musang kekal sebagai sebuah bandar Melayu-Islam yang beridentitikan Kelantan.
“Saya terpanggil untuk menyangkal kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa Bandar Gua Musang sedang hilang identiti kekelantanan, menuju menjadi “Kuala Lumpur kedua” serta terdedah kepada budaya maksiat tanpa kawalan.
“Tuduhan liar bahawa Gua Musang sedang hancur identiti adalah fitnah, tidak berasas, dan berniat jahat. Hakikatnya, Gua Musang kekal bandar Melayu-Islam beridentitikan Kelantan, dengan kawalan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat yang utuh menjaga tradisi.
“Sebagai Ketua Pembangkang, saya tegaskan membela maruah rakyat Gua Musang adalah tanggungjawab saya, biarpun berbeza pandangan politik. Jangan sesekali cemarkan nama baik bandar ini dengan tuduhan tanpa fakta,” katanya menerusi satu kenyataan.
Syahbuddin menyifatkan kawasan itu kekal dalam imej Kelantan, sekaligus selari dengan data rasmi Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) yang merekodkan lebih 85 peratus penduduk terdiri daripada bumiputera.
Katanya ia termasuk bahasa loghat Kelantan yang kekal dominan, tulisan jawi dipelihara dan budaya seperti dikir barat, gotong-royong, serta sambutan Maulidur Rasul kekal subur.
“Di Gua Musang tiada bandar maksiat, statistik Polis Diraja Malaysia (IPD Gua Musang) bagi tahun 2024 menunjukkan kadar jenayah kurang 180 kes setahun, antara yang terendah di Kelantan. Tiada pusat hiburan malam berlesen berskala besar di bandar ini. Lesen hiburan yang ada hanya untuk acara berpermit (majlis perkahwinan, pesta kebudayaan, perayaan).
“Semua projek perumahan baharu tertakluk kepada syarat 30–50 peratus lot Bumiputera. Setakat ini, tiada perumahan eksklusif satu kaum diluluskan.
“Tiada sekolah vernakular baharu dibina di Gua Musang sejak 10 tahun terakhir. Rumah ibadat bukan Islam hanya dibina dengan kelulusan kerajaan negeri berdasarkan peraturan perancangan bandar. Berhala di gua adalah peninggalan lama komuniti kecil, bukan pembinaan baharu tanpa kawalan,” ujar beliau.
Sementara itu katanya lagi, fakta politik Gua Musang juga menunjukkan bahawa lebih 70 peratus pengundi Parlimen Gua Musang adalah Melayu-Islam.
“Sejarah pilihan raya membuktikan hanya calon Melayu-Islam yang diterima rakyat di kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri,” ujar beliau.
Apa Reaksi Anda?











