Pasca Konvensyen 80 Tahun: UMNO ‘Reset’, Perkukuh Agenda Masa Depan
UMNO melakukan pembaharuan atau ‘reset’ secara berterusan bagi memastikan parti itu kekal relevan dalam menghadapi cabaran politik semasa yang semakin dinamik.
Veteran UMNO, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, sesebuah parti politik tidak boleh bergantung kepada kekuatan tradisi dan angka keahlian semata-mata tanpa usaha penambahbaikan yang berterusan.
“Dalam dunia politik, jika parti tidak ‘reset’ dari semasa ke semasa, ia akan tenggelam. Inilah juga yang sedang dihadapi UMNO ketika ini.
“UMNO tidak boleh hanya berbangga dengan angka 3.5 juta keahlian atau struktur organisasi. Yang lebih penting ialah sejauh mana ahli benar-benar memahami dan percaya kepada perjuangan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas hala tuju UMNO susulan kejayaan penganjuran Konvensyen 80 Tahun UMNO Sabtu lalu yang disifatkan berjaya menyuntik semangat baharu serta memperkukuh kesatuan dalam kalangan ahli di semua peringkat.
Menurut Abdul Aziz yang juga Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), konvensyen tersebut bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya menjadi medan penting untuk memperjelas hala tuju parti dan memperkemas gerak kerja organisasi.
“Konvensyen ini membuktikan UMNO masih mempunyai asas yang kukuh dan sokongan akar umbi yang kuat. Namun, kekuatan ini perlu diterjemahkan kepada tindakan yang lebih tersusun, strategik dan berimpak tinggi,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa hala tuju parti kini dipandu oleh tiga agenda utama yang digariskan kepimpinan tertinggi iaitu Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Grand Collaboration.
Katanya, ketiga-tiga agenda tersebut menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh keutuhan agama, bangsa dan tanah air.
“Tiga agenda ini merupakan pemangkin utama kepada keutuhan agama, bangsa dan tanah air. Ia menuntut komitmen sepenuhnya daripada seluruh barisan kepimpinan dan ahli di setiap peringkat dari cawangan, bahagian, perhubungan UMNO negeri sehinggalah ke peringkat pengurusan tertinggi parti,” katanya lagi.
Beliau menjelaskan, pendekatan Rumah Bangsa memberi fokus kepada usaha penyatuan rakyat serta memperkukuh kebersamaan dalam masyarakat majmuk.
“Musyawarah Nasional pula memperkukuh budaya perundingan, kesepakatan dan kematangan dalam membuat keputusan, manakala Grand Collaboration membuka ruang kerjasama politik yang lebih luas demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Tambahnya, masa depan UMNO bergantung kepada keupayaan parti untuk berubah mengikut keperluan semasa tanpa mengabaikan asas perjuangan yang telah sekian lama menjadi tunjang.
“UMNO mesti bergerak ke hadapan dengan keberanian untuk berubah, namun dalam masa sama terus berpegang kepada prinsip dan nilai perjuangan.
“Jika ini dapat dilaksanakan dengan konsisten, saya yakin UMNO bukan sahaja akan kekal relevan, malah mampu kembali sebagai parti utama yang terus diyakini rakyat,” katanya.
Apa Reaksi Anda?











