Pahang Perkukuh Rantaian Industri Perikanan Berasaskan Teknologi
Pahang mahu memperkukuh industri perikanan negeri dengan memberi tumpuan kepada teknologi pemprosesan, penyimpanan serta penghasilan produk hiliran bernilai tambah berasaskan hasil laut.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendekatan itu antara perkara yang diberi perhatian menerusi lawatan kerja delegasi kerajaan negeri ke Vigo, Sepanyol, yang merupakan antara pusat industri perikanan utama Eropah.
Beliau berkata, kunjungan ke pusat teknologi dan penyelidikan industri perikanan, Anfaco-Cytma, serta syarikat multinasional Grupo Profand memberi peluang kepada delegasi Pahang meninjau kemajuan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemprosesan, penyimpanan serta kawalan kualiti hasil laut.
Menurutnya, model industri di Vigo memperlihatkan bagaimana hasil perikanan tidak hanya bergantung kepada aktiviti tangkapan, sebaliknya dikembangkan menerusi rantaian lengkap meliputi pendaratan, pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan, pemasaran dan penghasilan produk hiliran.
Katanya, pendekatan itu amat relevan untuk Pahang yang mempunyai asas kukuh dalam sektor perikanan.
Berdasarkan data Jabatan Perikanan Malaysia, pengeluaran perikanan Pahang pada 2025 mencapai 148,968 tan metrik berbanding 144,651.73 tan metrik pada 2024, sekali gus merekodkan jumlah tertinggi di Pantai Timur.
“Pahang bukan sahaja mempunyai sumber perikanan yang besar, malah mempunyai potensi untuk membangunkan industri ini secara lebih menyeluruh.
“Kita tidak mahu selama-lamanya menjadi negeri yang hanya membekalkan ikan mentah. Sebaliknya, hasil laut perlu diproses dan diberikan nilai tambah di Pahang sebelum dipasarkan dalam bentuk produk yang lebih bernilai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Wan Rosdy berkata, antara potensi yang boleh diterokai termasuk makanan sejuk beku, makanan sedia dimakan, produk berasaskan ikan, surimi dan makanan dalam tin bagi meluaskan pasaran hasil laut tempatan.
Beliau berkata, pembangunan rantaian industri yang lengkap bukan sahaja meningkatkan nilai ekonomi hasil perikanan, malah mampu memberi manfaat kepada nelayan, pengusaha, usahawan serta sektor pemprosesan makanan, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Lawatan ke Sepanyol itu merupakan sebahagian daripada misi kerja delegasi Pahang ke Eropah bagi meneroka teknologi baharu, peluang kerjasama strategik dan pendekatan moden dalam memperkukuh sektor ekonomi utama negeri.
Apa Reaksi Anda?











