Pahang sedia laksana pelan pembangunan strategik di 7 stesen ECRL
Kerajaan Pahang bersedia melaksanakan pelan pembangunan berimpak tinggi di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini.
Perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Berorientasikan Transit (Transit Oriented Development – TOD) yang diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh pada Selasa.
YAB Menteri Besar, Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perancangan itu memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam dalam lingkungan 15 kilometer dari setiap stesen ECRL.
Menurutnya, ia dijangka memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
"Dengan pelaksanaan Projek Pemecut Ekonomi (Economic Accelerator Project – EAP) dan pembangunan TOD secara strategik serta mampan.
"Kerajaan Negeri meletakkan sasaran untuk menjadikan kawasan sekitar stesen ECRL sebagai pusat pertumbuhan baharu yang inklusif dan berdaya saing," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau memaklumkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat iaitu Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan Majlis Daerah Maran (MDM).
Jelasnya, kesemua PBT ini akan merangka pelan tindakan pembangunan EAP dan TOD di kawasan masing-masing, dengan penekanan kepada manfaat nyata kepada penduduk tempatan.
Tambah beliau, antara komponen pembangunan yang dikenal pasti termasuk pembinaan Pangsapuri Pahangku, pembangunan pusat pentadbiran, pusat komersial, hotel, kompleks perniagaan, kemudahan institusi dan masyarakat, utiliti, pembangunan bercampur serta infrastruktur perumahan.
"Beberapa cadangan turut diketengahkan oleh pihak PBT, antaranya pembangunan semula Tasik Paya Bungor Eco Park di Gambang, penjenamaan semula taman tema air, pembinaan terminal pengangkutan awam bersepadu, penyediaan tapak pusat pengurusan sisa bersepadu serta pembangunan Maritim Hab di Tanjung Gelang.
"Selain itu, turut dicadangkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan bersama pembangunan Bandar Aeroangkasa, pelaksanaan konsep Smart City di Temerloh, pembinaan kluster industri kelapa sawit dan loji janakuasa biogas di Maran, serta penubuhan pusat pengumpulan dan pembungkusan hasil pertanian dan sumber mineral," katanya.
Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang juga melihat potensi pembangunan kawasan eko pelancongan di Hutan Simpan Paya Pasir dan pembinaan terminal bersepadu serta gerai berangkai di Bentong.
"Kita yakin pelaksanaan projek-projek itu bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi, malah mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
"Disamping itu, ia dapat memperkukuh jaringan mobiliti serta akses perkhidmatan di kawasan luar bandar dan bandar," jelasnya.
Menurut Wan Rosdy, inisiatif menyeluruh ini adalah satu langkah proaktif dan bersifat masa hadapan yang akan menyokong pembangunan Pahang secara holistik, seimbang dan mampan demi kemakmuran dan kesejahteraan semua.
Apa Reaksi Anda?











