Cukai MBAS: Rakyat Bukan Mesin Wang Untuk Tampung Kelemahan Pentadbiran
Pengarah Komunikasi UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menegaskan bahawa rakyat bukanlah mesin wang yang boleh digunakan untuk menampung kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.
Ini kerana katanya, kenaikan cukai Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dilihat memberi kesan dan dilihat menindas rakyat.
“Saya nak tanya Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Cuba cakap dengan jujur kenapa terlampau tergesa-gesa nak naikkan cukai? Itu adalah penindasan. Kalau semua (cukai) naik, tetapi mutu perkhidmatan tak naik buat apa?
“Ketika zaman pemerintahan UMNO/Barisan Nasional (BN), elok sahaja pembangunan berlaku tanpa menaikkan cukai. MB ada juga cakap bahawa rakyat semakin ramai. Kalau begitu, sepatutnya lebih banyaklah cukai yang dapat dikutip. Jadi sebab apa nak naikkan lagi?
“Semasa UMNO/BN perintah Kedah elok sahaja pengurusan. Tiba-tiba zaman Sanusi, terkejut rakyat. Cukai naik sampai ratus persen. Kalau betul Kerajaan Negeri pandai urus, tak payahlah ‘kaut’ daripada poket rakyat,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebooknya.
Syed Mohd Johan yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, beliau terkilan dengan kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah yang jauh daripada mendengar denyut nadi rakyat.
“Saya berkesempatan minum petang bersama Datuk Bandar Alor Setar petang semalam. Terima kasih saya ucapkan kepada beliau kerana berani berdepan menjelaskan proses dan apa yang bakal berlaku dalam isu cukai pintu ini. Jadi, penjelasan beliau amat jelas dan saya terima.
“Saya sokong sebab beliau hanya menjalankan tugas. Cuma saya rasa pelik dan terkilan dalam soal pimpinan Kerajaan Negeri Kedah yang saya rasa dah jauh daripada mendengar denyut nadi rakyat.
“Mungkin mereka nak mengejar ‘tagline’ ataupun cita-cita untuk menjadikan Kedah ini ‘greater’ sehinggakan dalam keadaan rakyat dihimpit dengan pelbagai masalah sosial, ekonomi dan sebagainya… Kerajaan Negeri Kedah pula dalam masa yang sama cuba untuk ‘menindih’ kantung poket rakyat,” katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, Kerajaan Negeri Kedah yang ditunjangi Pas perlu membangunkan negeri dengan akal dan timbang rasa, tanpa menindas rakyat.
“Kalau betul pun nak bangunkan negeri, buatlah dengan akal dan timbang rasa sebab perkara ini pernah dilaungkan oleh pimpinan negeri. Mereka pernah bercakap soal timbang rasa dan zalim sesebuah kerajaan kalau menindas rakyat.
“Saya nak ingatkan kepimpinan negeri, rakyat bukan mesin wang ataupun tunai untuk kita jarah bagi menampung kelemahan pengurusan pentadbiran kerajaan. UMNO dahulu apabila nak laksana sesuatu dasar, kita bincang, timbang dan jelas. Kerajaan Negeri Kedah pernah melaungkan slogan ‘merakyatkan kerajaan’, tapi nampak sekarang ini makin menindas rakyat.
“Bukan sahaja cukai pintu… cukai tanah, bil air dah naik tetapi masalah air belum selesai. Jangan pandai berkata mengenai isu di peringkat pusat, negeri sendiri pun kena tengok,” katanya lagi.
Apa Reaksi Anda?











