MyCare sahkan 9 kapal misi bantuan FFC v TMTG dipintas jam 10.50 pagi

Oleh : BARD
Oktober 8, 2025 - 13:00 MYT
MyCare sahkan 9 kapal misi bantuan FFC v TMTG dipintas jam 10.50 pagi

Kesemua sembilan kapal bantuan kemanusiaan di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dilaporkan telah dipintas oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika menghampiri perairan zon merah menuju ke Gaza.

Perkara tersebut disahkan oleh Pusat Kawalan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang memaklumkan bahawa kapal-kapal misi Freedom Flotilla itu telah dipintas pada jam 10.50 pagi waktu Malaysia, hari ini.

Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut diberikan setakat ini, dan pihak MyCARE dijadual mengadakan sidang media tergempar pada jam 12 tengah hari bagi memberikan perkembangan terkini.

Menurut data pelayaran terakhir pada jam 04:00 UTC (11 pagi waktu Malaysia), salah satu kapal misi tersebut dikesan berada pada koordinat 32°30.649′ N, 30°24.474′ E, iaitu kira-kira 120 kilometer dari pesisir Gaza. Kapal berkenaan dilaporkan bergerak pada kelajuan 4.32 knot dengan haluan 90 darjah.

Sebelum ini, kesemua sembilan kapal misi kemanusiaan FFC x TMTG dijangka memasuki zon merah sekitar jam 5 petang waktu Malaysia, Rabu.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, sebelum ini memaklumkan bahawa semua kapal dalam misi berkenaan telah bergerak pada kelajuan sekitar 4.00 knot dan telah melepasi 200 batu nautika dari perairan pantai Gaza.

Misi pelayaran FFC x TMTG yang merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan serta menuntut pembukaan koridor kemanusiaan ke Gaza.

Seramai lapan delegasi Malaysia kini sedang belayar di atas kapal Conscience dengan seorang lagi delegasi di atas kapal layar Umm Saad bagi misi FFC x TMTG.

Lapan delegasi Malaysia yang menaiki kapal Conscience milik FFC itu terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil, dua pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Kapal terbesar Conscience membabitkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.

Delegasi Malaysia diketuai oleh MyCare, manakala seramai 93 peserta dari 22 negara berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.

Secara keseluruhan misi ini membabitkan 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan delegasi Malaysia.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow