Korban di Gaza melepasi 18,200 orang

Oleh : PAHANGKU
Disember 12, 2023 - 11:58 MYT
Korban di Gaza melepasi 18,200 orang
Tentera Israel melakukan tinjauan di atas sebuah bukit yang menghadap ke utara Gaza. - Foto AFP

GAZA: Angka kematian rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sudah melepasi 18,200 orang dengan 104 tentera Israel turut terkorban sejak konflik Israel-Hamas meletus pada 7 Oktober lalu.

Pejuang Hamas memberi amaran bahawa baki 137 tebusan tidak akan 'bertahan' melainkan Israel memenuhi tuntutannya dan membebaskan lebih ramai tahanan Palestin.

Pertempuran kejam berterusan di Gaza, dengan pejuang Jihad Islam berkata mereka meletupkan sebuah rumah di bandar Khan Yunis di selatan Gaza, di mana askar Israel sedang mencari terowong.

Roket yang dilepaskan dari Gaza mengenai Holon di pinggir Tel Aviv, mencederakan orang awam dan meninggalkan kawah di jalan kediaman.

Imej AFPTV secara langsung menunjukkan kepulan asap kelihatan selepas letupan di tengah Gaza, manakala wartawan AFP melaporkan letupan yang menggegarkan beberapa kawasan bandar.

Israel menggesa orang awam untuk mencari perlindungan ke kawasan selatan, tetapi tentera terus menyerang sasaran di seluruh wilayah itu.

Umm Mohammed al-Jabri hilang tujuh anaknya dalam serangan udara di Rafah, dekat Mesir, selepas melarikan diri ke sana dari Kota Gaza.

"Saya mempunyai empat anak lagi," kata Jabri, 56.

"Malam tadi mereka mengebom rumah yang kami duduki dan memusnahkannya. Mereka berkata Rafah akan menjadi tempat yang selamat. Tidak ada tempat yang selamat," katanya.

Jumlah kematian terakhir daripada Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas ialah 18,205, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Di wad psikiatri Israel, doktor yang merawat bekas tebusan mendakwa ramai yang diberi ubat oleh Hamas untuk memastikan mereka tenang dalam kurungan dan mengalami penderaan psikologi serta seksual.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggesa Hamas untuk 'menyerah sekarang', dengan kerajaannya mendakwa ribuan pejuang terbunuh ketika peperangan.

Tentera berkata, 500 pejuang sudah ditahan sejak sebulan lalu.

Sebahagian besar kawasan Gaza musnah dalam serangan berkenaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 1.9 juta daripada 2.4 juta penduduknya kehilangan tempat tinggal.

Di tengah tekanan yang semakin meningkat terhadap keadaan kemanusiaan, Israel mengumumkan ia akan menapis bantuan ke Gaza di dua pusat pemeriksaan tambahan, yang akan membolehkan lebih banyak bantuan untuk memasuki jalur yang musnah. - AFP

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow