Pahang Bakal Jadi Hab Eksport Telur Negara
Pahang berpotensi muncul sebagai peneraju industri pengeluaran dan pengeksport telur terbesar negara menerusi peluasan operasi QL Eco Farm di Lanchang dan Jelai, sekali gus membuka peluang menembusi pasaran antarabangsa.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri akan memberi keutamaan melalui pendekatan fast track bagi mempercepatkan urusan permohonan peluasan operasi syarikat berkenaan.
Menurut beliau, langkah itu merupakan peluang strategik untuk memperkukuh industri agromakanan negeri, meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa yang semakin meningkat.
Ketika ini, QL Eco Farm di Sungai Klau, Raub menghasilkan kira-kira 650,000 biji telur sehari dan telah beroperasi selama lima tahun. Bagaimanapun, keseluruhan pengeluaran masih tertumpu kepada pasaran tempatan berikutan permintaan domestik yang tinggi sehingga belum mencukupi untuk tujuan eksport.
“Kalau boleh, kita nak Pahang menjadi pengeksport telur terbesar negara. Ini satu peluang yang sangat baik dan Kerajaan Negeri akan memberi keutamaan kepada permohonan peluasan operasi ini,” katanya ketika mengadakan lawatan ke QL Eco Farm, Sungai Klau sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st DUN Dong.
Peluasan operasi di Lanchang dan Jelai dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan kapasiti pengeluaran, sekali gus membolehkan Pahang melangkah lebih jauh sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan telur negara dan pasaran eksport.
Lebih penting, operasi QL Eco Farm ketika ini turut menyediakan kira-kira 300 peluang pekerjaan kepada anak tempatan, membuktikan bahawa pembangunan industri berskala besar mampu menjana manfaat ekonomi secara langsung kepada masyarakat setempat.
Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1,788,030 menerusi Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi membaik pulih dan menaik taraf jalan masuk ke QL Eco Farm sepanjang 2.6 kilometer dengan lebar tiga meter.
Kemudahan infrastruktur itu penting bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan, urusan logistik serta operasi perniagaan harian syarikat. Kerja-kerja berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2027.
Komitmen mempercepatkan peluasan pelaburan, menyediakan infrastruktur sokongan dan membuka peluang pekerjaan ini mencerminkan usaha Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pahang sebagai destinasi pelaburan agromakanan yang berdaya saing.
Daripada memenuhi keperluan pasaran tempatan kepada meneroka pasaran antarabangsa, Pahang kini mempunyai peluang besar untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pengeluaran telur negara.
Apa Reaksi Anda?











