Institusi Diraja Bukan Bahan Polemik Politik – Wan Rosdy

Oleh : BARD
November 19, 2026 - 10:00 MYT
Institusi Diraja Bukan Bahan Polemik Politik – Wan Rosdy

Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan agar kebebasan yang dinikmati dalam negara tidak disalahgunakan sehingga melampaui batas adab, tanggungjawab dan penghormatan terhadap institusi negara.

Beliau menyifatkan tindakan Tony Pua yang didakwa mendedahkan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan pengampunan Dato' Sri Najib Tun Razak sebagai perkara serius yang perlu diberikan perhatian, khususnya dari sudut penghormatan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong serta kerahsiaan dokumen rasmi kerajaan.

Menurut beliau, kuasa pengampunan merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Justeru, institusi Raja-Raja Melayu tidak seharusnya dijadikan bahan polemik politik sehingga menjejaskan penghormatan terhadap kedudukannya.

“Jangan sampai berlaku keadaan ‘kaduk naik junjung’, apabila kebebasan dan ruang yang diberikan disalahgunakan sehingga terlupa akan batas, adab dan tanggungjawab menghormati institusi negara,” tegas beliau dalam kenyataan media.

Selain isu penghormatan terhadap institusi diraja, Wan Rosdy turut membangkitkan persoalan mengenai keselamatan, kerahsiaan dan tatakelola dokumen kerajaan, terutama yang melibatkan prosiding rasmi Lembaga Pengampunan.

Beliau mempersoalkan bagaimana dokumen berkaitan prosiding tersebut boleh didedahkan kepada umum, termasuk pihak yang bertanggungjawab mengendalikan dokumen berkenaan serta prosedur yang membolehkan pendedahan atau penyahklasifikasiannya dilakukan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti fakta sebenar, termasuk meneliti kemungkinan pelanggaran undang-undang berkaitan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) serta peraturan keselamatan dan kerahsiaan dokumen kerajaan.

Beliau menegaskan bahawa sekiranya siasatan mendapati wujud sebarang pelanggaran undang-undang atau prosedur, tindakan sewajarnya hendaklah diambil secara adil dan tanpa pilih kasih.

“Perbezaan politik bukan lesen untuk memperlekeh institusi Raja-Raja Melayu. Menghormati Yang di-Pertuan Agong dan menjaga kerahsiaan dokumen kerajaan adalah soal prinsip, kedaulatan undang-undang serta tanggungjawab terhadap negara,” katanya.

Tegas beliau, kebebasan dalam sebuah negara demokrasi perlu sentiasa bergerak seiring dengan batas undang-undang, nilai kesopanan dan penghormatan terhadap institusi yang menjadi sebahagian daripada asas kenegaraan Malaysia.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow