Pahang Prihatin: 19 Pelajar Terima Sumbangan USD 1,000 Seorang Untuk Sambung Pengajian di Jordan

Kerajaan Negeri Pahang sekali lagi membuktikan keprihatinan terhadap agenda pendidikan apabila menyalurkan sumbangan khas berjumlah USD 19,000 kepada 19 orang pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Yarmouk, Jordan. Setiap pelajar menerima USD 1,000 (kira-kira RM4,300) sebagai bantuan wang pendahuluan untuk memulakan kehidupan dan pengajian di luar negara.
Sumbangan ini disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam Majlis Penyampaian Wang Pendahuluan Pelajar Tahun Ketiga Program KYP–Yarmouk University, Jordan yang berlangsung di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), baru-baru ini.
Menurut Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memastikan anak-anak Pahang tidak tercicir dalam mengejar ilmu, khususnya dalam bidang Pengajian Islam Syariah (Ekonomi & Perbankan Islam) yang menjadi tumpuan di Universiti Yarmouk.
“Kerajaan Negeri memikirkan bahawa anak-anak ini perlu dibela dan dibantu supaya boleh melanjutkan pelajaran. Itulah tanggungjawab kerajaan. Kerajaan yang gagal adalah kerajaan yang tidak mengambil berat tentang rakyat dan juga pendidikan,” tegas beliau.
Beliau menambah, pelajar-pelajar ini adalah aset negeri Pahang yang diharapkan dapat menyumbang kembali kepada pembangunan negeri, sama ada berkhidmat secara langsung di Pahang atau membawa manfaat tidak langsung melalui kepakaran masing-masing.
Selain menyampaikan bantuan, Menteri Besar turut menitipkan pesanan kepada pelajar agar menjaga diri sepanjang berada di Jordan, sentiasa berhubung dengan ibu bapa, serta menggunakan peluang menuntut ilmu sebaik mungkin.
“Jaga diri baik-baik, hantar berita selalu kepada mak dan ayah kerana kita sudah ada kemudahan. Gunakan masa sebaik mungkin kerana bukan semua orang dapat peluang belajar di Universiti Yarmouk, Jordan,” katanya.
Sumbangan ke Jordan ini bukanlah usaha pertama kerajaan negeri dalam membantu pelajar. Sebelum ini, kerajaan Negeri telah:
Menyediakan insentif kecemerlangan akademik kepada pelajar cemerlang SPM, STPM dan STAM.
Menyalurkan peruntukan jutaan ringgit untuk penyediaan buku rujukan dan latihan percuma kepada pelajar menghadapi peperiksaan besar.
Melaksanakan Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) yang memberi manfaat kepada mahasiswa termasuk wang tunai, latihan dan sokongan kebajikan.
Langkah konsisten ini menunjukkan kerajaan negeri bukan sahaja menekankan pendidikan di peringkat tempatan, malah turut menyokong pengajian luar negara yang memberi nilai tambah kepada pembangunan modal insan Pahang.
Majlis itu turut dihadiri oleh YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang serta YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang.
Apa Reaksi Anda?






