Lebih 13,500 banduan lolos dari penjara semasa protes di Nepal
Polis Nepal mengesahkan lebih 13,500 banduan melarikan diri dari penjara di seluruh negara semasa protes antikerajaan yang berlaku minggu ini.
Jurucakap Polis Nepal, Binod Ghimire, mengesahkan insiden itu selain memaklumkan tiga anggota polis turut terkorban dalam rusuhan yang berlaku pada Rabu.
Video yang tular di media sosial menunjukkan sejumlah besar banduan dari Penjara Dillibazar di Kathmandu cuba melarikan diri, tetapi ditahan oleh anggota tentera sambil menuntut pembebasan mereka.
Tentera Nepal mula menempatkan anggota di jalan-jalan Kathmandu bagi memulihkan ketenteraman selepas penunjuk perasaan membakar bangunan Parlimen dan memaksa Perdana Menteri, K P Sharma Oli meletak jawatan.
Tentera turut mengumumkan perintah berkurung melalui pembesar suara, manakala kenderaan perisai bergerak di jalan-jalan yang sunyi, di tengah bangunan dan kenderaan yang hangus terbakar.
Ketua Tentera Nepal, Jeneral Ashok Raj Sigdel, menyeru semua penunjuk perasaan supaya “menghentikan protes dan berbincang secara aman”.
Demonstrasi bermula Isnin lalu membantah larangan kerajaan terhadap media sosial dan isu rasuah, digerakkan oleh golongan muda yang menamakan diri mereka sebagai pergerakan 'Gen Z'.
Protes itu melarat sehingga bangunan kerajaan dibakar dan sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dalam tindakan kekerasan pihak berkuasa.
Penunjuk perasaan turut menyerang dan membakar rumah Perdana Menteri Oli pada Selasa.
Beliau kemudian meletak jawatan untuk memberi ruang kepada “langkah penyelesaian politik”. Lokasi terkini beliau tidak diketahui.
Nepal mempunyai kadar pengangguran lebih 20 peratus bagi mereka yang berumur 15 hingga 24 tahun, dengan KDNK per kapita hanya AS$1,447.
Beberapa laman media sosial seperti Facebook, YouTube dan X telah disekat sebelum ini, namun dibuka semula selepas protes meletus.
Video yang memaparkan jurang kehidupan antara rakyat biasa dan anak-anak ahli politik turut menjadi tular di TikTok.
Apa Reaksi Anda?











