Jangan Gugat Keharmonian BN, Setiap Parti Ada Peranan Penting
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menyeru pemimpin daripada parti-parti dalam Barisan Nasional (BN) untuk rasional dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat hubungan baik dan persefahaman yang telah terjalin sejak sekian lama.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, kekuatan BN terletak pada kesatuan antara UMNO, MCA dan MIC, dan sebarang perpecahan hanya akan melemahkan gabungan itu di mata rakyat.
“Realitinya kita saling memerlukan antara satu sama lain. Dan tiada maknanya kita berpecah diketika ahli dan rakyat sebenar mahu parti yang stabil mewakili mereka. Perpecahan boleh menyebabkan BN tidak diyakini dan itulah yang berlaku di PRU15 apabila BN tawarkan kestabilan sedangkan rakyat melihat kita berpecah.
“Maka diketika mahu kerajaan ini kukuh, apa maknanya jika BN, parti kita berpecah? BN parti politik yang telah begitu lama di negara ini, berpengalaman, dan sudah melalui pelbagai ujian. BN bukan sebuah gabungan parti politik yang baru.
“Justeru itu, pada saya siapapun tidak kiralah daripada parti mana sekali pun. Elakkanlah membuat kenyataan yang boleh merenggangkan keakraban, saling hormat menghormati serta persefahaman yang telah dibina sejak zaman dulu lagi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut kata beliau adalah tidak adil menilai kekuatan parti-parti BN berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya.
Menurut Shamsul, kekuatan sebenar BN adalah hasil sokongan pelbagai kaum dan kelompok pengundi di seluruh negara kerana bilangan satu undi merupakan angka yang sangat penting.
“Pada saya adalah salah dan tidak tepat kalau hanya mengukur sumbangan atau kekuatan mana mana parti dalam BN termasuk MCA dan MIC berasakan jumlah kerusi yang mereka ada atau menang dalam pilihanraya kerana faktanya undi mereka berada dimana mana.
“Biarpun disesetengah tempat jumlahnya kecil tapi ia tetap penting kerana dalam politik satu undi pun mustahak.
“Kerana sejarahnya UMNO/BN pernah tidak boleh membentuk kerajaan di Kelantan hanya kerana BN kurang dua undi. Peristiwa ini mesti menjadi pengajaran, apatah lagi dengan landskap politik yang begitu dinamik,” ujar beliau.
Apa Reaksi Anda?











