NEPAL:  CERMIN AMARAN UNTUK KITA

Oleh : BARD
September 11, 2025 - 17:03 MYT
NEPAL:  CERMIN AMARAN UNTUK KITA

Kalau kita tengok apa yang berlaku di Nepal, ia nampak macam cerita jauh  negara kecil di kaki Himalaya, politik mereka mungkin tak ada kena-mengena dengan kita. Tapi sebenarnya, ia jadi pengajaran besar untuk sesiapa saja yang masih percaya rakyat boleh ditipu selamanya.

Kemusanahan yang berlaku kerasa letusan kemarahan rakyat terhadap sistem politik yang sudah lama busuk dan gagal. Lebih 13 kerajaan silih berganti sejak 2018, semuanya jatuh bukan kerana mandat rakyat, tetapi kerana perebutan kuasa, kepentingan diri, dan korupsi yang tidak pernah selesai. Bayangkan, dalam tempoh tidak sampai sedekad, rakyat dipaksa menyaksikan wajah-wajah sama yang berulang kali naik turun, menjual janji kosong tanpa sedikit pun memperbaiki kehidupan rakyat marhaen.

Jurang terlalu ketara dapat dilihat antara anak politikus hidup senang-lenang, belajar di luar negara, bercuti ke Eropah dengan anak rakyat terpaksa berhijrah jadi buruh kasar di Qatar atau Malaysia . Bila kerajaan pula cuba nak kawal media sosial, seolah-olah nak tutup terus suara rakyat, api yang kecil pun jadi marak.

Apa yang berlaku? Parlimen terbakar, rumah pemimpin diserang, simbol negara sudah tak dipandang. Rakyat lebih percaya kepada bendera anime berbanding bendera rasmi. Itu tandanya institusi sudah hilang makna.

Kemarahan rakyat Nepal bukan marah kosong. Ia ada wajah, ada simbol, ada naratif. Gen Z membawa sepanduk dengan slogan “No More Nepo Babies” dan “Youth Against Corruption,” malah menjadikan bendera Straw Hat Pirates dari One Piece sebagai panji perjuangan mereka. Simbol pop culture itu menjadi isyarat bahawa generasi ini sudah hilang rasa hormat kepada institusi politik lama yang dilihat hanya alat penindasan. Mereka tidak trauma dengan sejarah perang saudara, mereka tidak terikat dengan feudal lama, mereka berfikir dalam kerangka global. Dan bila generasi ini bangkit, institusi lapuk yang rapuh akan runtuh dalam sekelip mata.

Apa yang berlaku di Nepal kini adalah referendum jalanan. Rakyat sudah tidak percaya kepada pilihan raya yang dikuasai elit, maka mereka memilih untuk menjatuhkan kerajaan di jalan raya. Dan dunia sedang menyaksikan bagaimana sebuah negara yang dianggap kecil dan tidak penting, mampu memberi isyarat besar kepada duni. Apabila generasi muda hilang sabar, tidak ada kuasa yang mampu menahan gelombang mereka.

Di Malaysia, kita belum sampai tahap itu, alhamdulillah. Tapi kita pun tidak boleh buat-buat buta. Rakyat kita pun ada rasa muak bila tengok budaya rasuah, salah guna kuasa, dan kemewahan segelintir elit politik. Sebab itu pentingnya usaha reformasi yang dibawa oleh PMX hari ini perlu disokong oleh rakyat Malaysia tanpa mengira warna politik.

Usaha membersihkan sistem daripada rasuah, mengheret orang besar ke mahkamah tanpa pilih kasih, dan memastikan kerajaan tidak lagi jadi mesin untuk kayakan orang kaya.

Memang jalan ini tidak mudah. Rakyat kadang-kadang rasa lambat, rasa ada yang masih terlepas. Tapi sekurang-kurangnya, ada arah yang jelas bahawa negara ini perlu bergerak keluar daripada budaya lama yang penuh korupsi dan nepotisme. Kita tidak mahu jadi macam Nepal, menunggu generasi muda hilang sabar, lalu segala institusi runtuh dalam api jalanan.

Kesedaran ini penting, jangan sampai kita ulang kesilapan yang sama. Kuasa rakyat boleh mengangkat pemimpin, tapi kuasa rakyat juga boleh menjatuhkan bila janji dimungkiri. Untuk Malaysia, peluang sedang terbuka kalau kita terus bersama dalam membanteras rasuah, menolak politik wang, menolak budaya “nepo baby” dan salah guna kuasa, kita boleh elakkan letusan seperti yang berlaku di Kathmandu.

Akhirnya, pilihan ada di tangan kita mahu ikut jejak Nepal dengan api jalanan, atau mahu ikut jalan reformasi yang dilaksana oleh kerajaan perpaduan dengan perubahan yang lebih aman dan berperingkat. Yang pasti, satu hal tidak boleh ditawar lagi rakyat tidak akan selamanya diam bila mereka ditipu.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow