PAT Bersatu 2025 Jadi Pentas Bodek

Oleh : BARD
September 11, 2025 - 15:00 MYT
PAT Bersatu 2025 Jadi Pentas Bodek

Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 sekali lagi menimbulkan lebih banyak tanda tanya daripada jawapan. Bukan kerana dasar besar diperjuangkan, bukan kerana strategi masa depan ditawarkan, tetapi kerana drama kecil, perbalahan remeh dan usul lama yang diulang semula tanpa henti. Suasana yang sepatutnya menjadi mercu tanda kekuatan parti kini bertukar menjadi pentas yang “sedih dan melucukan”, seperti yang diluahkan sendiri oleh Exco Armada, Meor Naqiuddin.

Dalam catatan ringkasnya di Facebook, Meor hanya menulis satu perkataan yang cukup padat untuk menggambarkan isi hati, iaitu “kecewa”. Bukan kerana menolak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi kerana melihat bagaimana pentas yang sepatutnya dipenuhi dengan perbahasan dasar, hala tuju ekonomi dan kebajikan rakyat telah ditukar menjadi medan bodek, sorak dan tepuk tangan kosong untuk mengangkat satu nama.

PAT Bersatu, katanya, sudah tiga tahun berturut-turut hanya berkisar pada jawatan presiden dan calon perdana menteri, bukannya menjadi ruang segar untuk mengangkat aspirasi rakyat dan dasar perjuangan parti.

Lebih menyedihkan, dasar besar seperti Wawasan Kemakmuran Bersama hanya disentuh sekilas lalu, sekadar diangkat sebagai bahan poster media sosial, bukannya isi utama sidang. Bayangkan jika berita utama PAT berbunyi “Bersatu Sepakat Angkat Wawasan Kemakmuran Bersama Sebagai Dasar Menuju Putrajaya”, bukankah itu lebih meyakinkan rakyat? Malangnya yang menjadi tajuk utama hanyalah usul mengangkat semula Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.

Meor juga menyoal apa sebenarnya strategi Bersatu menuju PRU-16. Adakah cukup sekadar mengulang formula dengan menayangkan jenama “Abah”? Jika benar jenama itu ampuh, mengapa ia gagal menyelamatkan parti dalam PRN Melaka dan Johor? Beliau mengingatkan bahawa kemenangan besar PN pada PRU-15 bukan semata-mata kerana aura Muhyiddin, tetapi kerana imej parti yang bersih, tawaran manifesto yang berstruktur, gerak kerja yang tersusun, serta kebangkitan rakyat menolak parti lawan. Jika Bersatu hanya bergantung pada nostalgia lama, tanpa memperkukuh dasar dan memperbaiki imej yang semakin goyah, bagaimana mahu mengembalikan keyakinan rakyat?

Soalan yang ditinggalkan Meor cukup pedih untuk direnung adakah dengan usul yang berulang ini, rakyat akan melihat Bersatu sebagai parti bijak dan stabil, atau hanya kumpulan yang tidak serius dengan masa depan negara? Dan lebih pedas lagi, beliau mengingatkan bahawa rakyat tidak akan menilai mereka melainkan sebagai bahan ketawa politik jika budaya bodek dan sengketa ini tidak dihentikan segera. “Don’t let people see us as jokes and goons,” katanya, penuh sindiran tetapi sarat kebenaran.

Apa yang disuarakan oleh Meor Naqiuddin mungkin mewakili suara akar umbi yang semakin resah melihat hala tuju parti yang kabur. Bersatu kini berdepan dilema besar sama ada berani melakukan perubahan dengan kembali mengangkat dasar dan aspirasi rakyat, atau terus hanyut dalam nostalgia dan permainan dalaman yang akhirnya hanya menguntungkan musuh politik. Rakyat tidak menunggu drama dalaman, mereka menunggu tawaran yang meyakinkan. Dan jika Bersatu terus leka, jangan salahkan sesiapa apabila rakyat menutup pintu harapan buat parti ini pada PRU-16 kelak.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow