PPBM: Rumah Tangga Pun Tak Terurus, Bagaimana Mahu Pimpin Negara?

Oleh : BARD
September 11, 2025 - 12:00 MYT
PPBM: Rumah Tangga Pun Tak Terurus, Bagaimana Mahu Pimpin Negara?

Kekecohan yang berlaku dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baru-baru ini menjadi bukti nyata bahawa parti tersebut sedang berdepan krisis keyakinan dan kepimpinan yang serius.

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais berkata, peristiwa memalukan itu bukan sahaja mendedahkan perpecahan dalaman PPBM, malah mengesahkan bahawa parti berkenaan tidak mampu mengutamakan kebajikan rakyat.

“Jika rumah tangga sendiri pun tidak boleh dikawal, bagaimana mereka mahu menggalas satu tanggungjawab yang besar untuk memimpin negara? Secawan air pun tak mampu dijaga, bagaimana boleh diharapkan parti ini menjaga sebuah tasik?” tegasnya dalam kenyataan kepada UMNO Online.

Menurut beliau, UMNO dan PPBM mungkin kelihatan sama dari segi struktur, perlembagaan dan organisasi, tetapi perbezaan ketara ialah hala tuju perjuangan.

“UMNO ada hala tuju yang jelas, sedangkan PPBM sendiri pun ahlinya sukar menjawab arah perjuangan mereka,” katanya.

Mengulas insiden PAT, Ruzaini menyifatkan kekecohan yang berlaku iaitu jeritan “turun Tan Sri” bersahut dengan “hidup Tan Sri” sehingga mencetuskan pergaduhan dan memerlukan campur tangan pihak keselamatan, sebagai sesuatu yang amat mengaibkan.

Lebih mengecewakan, katanya, cubaan menutup kelemahan dibuat dengan mendakwa ada provokasi pihak luar.

“Sedangkan rakaman jelas menunjukkan semua yang terlibat memakai pakaian seragam PPBM. Kalau benar orang luar, mengapa tiada seorang pun ditahan? Hakikatnya ini membuktikan ketidakcekapan Setiausaha Agung PPBM sendiri,” katanya.

Beliau menegaskan, insiden itu juga memperlihatkan hilangnya rasa hormat terhadap Presiden PPBM sepenuhnya.

“Apabila Presiden dihina sebegitu, apakah masih ada wibawa untuk beliau memimpin parti? Malangnya, untuk menutup malu, PAT itu pula digunakan untuk membawa usul menamakan Presiden mereka sebagai calon Perdana Menteri,” ujarnya.

Namun, tambahnya, usul itu hanya disambut sinis oleh Pas dan jika sebelum ini Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai calon tunggal Perdana Menteri bagi PN, kini persepsi itu sudah mula berubah.

Ruzaini menyimpulkan bahawa kegagalan PPBM mengurus PAT membuktikan perjuangan mereka tidak berasaskan kepentingan rakyat.

“Ketika rakyat berdepan pelbagai isu dan kesusahan, PAT sepatutnya dijadikan medan untuk membincangkan penyelesaian. Namun, yang lebih diutamakan ialah perebutan kuasa dan akuan sumpah (SD).

“Rumah tangga sendiri pun tak terurus, bagaimana mahu pimpin negara?” soalnya lagi.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow