Pahang bakal perkenal Anugerah Kampung Paling Bahagia dengan peruntukan RM200,000

Oleh : BARD
November 7, 2025 - 10:00 MYT
Pahang bakal perkenal Anugerah Kampung Paling Bahagia dengan peruntukan RM200,000

Kerajaan Negeri Pahang bakal memperkenalkan Anugerah Kampung Paling Bahagia bagi menggalakkan rakyat untuk bersama memainkan peranan memperkukuhkan kesejahteraan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM200,000 melalui belanjawan tahun hadapan bagi tujuan itu.

Menurutnya, tiga kampung akan dipilih untuk anugerah itu atau nama lain lebih sesuai yang akan ditentukan nanti.

"inisiatif yang julung kali bakal dianjurkan kerajaan negeri ini bagi memberi peluang kepada rakyat Pahang untuk bersama-sama melibatkan diri membangun negeri, daerah dan kampung masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Pahang pada Khamis.

Pada majlis itu, Wan Rosdy turut mengumumkan insentif khas RM10,000 sebagai penghargaan kepada empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mencatatkan peratus indeks kebahagiaan tertinggi tahun 2025.

Beliau berkata, penghargaan itu diterima Perbandaran Temerloh, Majlis Daerah Cameron Highlands, Majlis Daerah Jerantut dan Majlis Daerah Lipis yang tersenarai dalam 20 bandar paling bahagia daripada 153 PBT di negera ini.

"Lebih membanggakan, Pahang sendiri telah diiktiraf sebagai negeri kedua paling bahagia di Malaysia.

"Tahniah juga kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Majlis Daerah Jerantut atas kejayaan menerima Anugerah Bandar Paling Mampan 2025, selain Majlis Perbandaran Bentong, Majlis Perbandaran Temerloh serta Majlis Daerah Lipis yang menerima penarafan Smart City - Early Adopter 2025," ujarnya.

Sementara itu, Wan Rosdy berharap kejayaan berkenaan dapat dikekalkan dan lebih banyak daerah di negeri ini tersenarai sebagai bandar paling bahagia pada masa akan datang.

"Tidak mustahil Pahang yang kini berada di tempat kedua negeri paling bahagia boleh naik ke tempat pertama. Kena pertahankan kedudukan itu, jangan jatuh pada kedudukan lebih rendah," pesannya.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow