Kg Sg Baru: Tuan Ibrahim Jangan Jadi Hero Murahan

Oleh : BARD
September 15, 2025 - 23:28 MYT
Kg Sg Baru: Tuan Ibrahim Jangan Jadi Hero Murahan
Kredit: BERNAMA

Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa kerajaan sekarang boleh membatalkan projek Kg Sungai Baru walaupun telah diluluskan kerajaan terdahulu jelas menunjukkan wajah sebenar politik oportunis PAS dan Perikatan Nasional. 

Sebenarnya, semua orang tahu projek ini bermula pada tshun 2021 ketika zaman kerajaan PN, ketika pemimpin mereka termasuklah Tuan Ibrahim sendiri berada di dalam kabinet. Pada ketika itu, kerajaan PN memberi persetujuan kepada pemaju untuk mengambil alih tanah penduduk Kg Sungai Baru melalui mekanisme pengambilan balik tanah. Pada ketika proses perobohan telah dilakukan.

Pada tahun 2022, pemaju telah membayar pampasan kepada penduduk yang terlibat. 

Ia bukan perkara kecil, kerana sejak awal lagi penduduk sudah menzahirkan bantahan. Mereka merasakan tawaran pampasan terlalu rendah dan tidak sepadan dengan nilai hartanah di tengah bandar raya Kuala Lumpur. Tetapi suara rakyat langsung tidak dipedulikan, seolah-olah yang lebih penting adalah memastikan projek berjalan seperti yang dirancang pemaju.

Ketika bantahan semakin membesar, pemimpin PAS dan PN membisu seribu bahasa. Tidak ada kenyataan lantang membela rakyat, tidak ada desakan politik untuk mengkaji semula keputusan tersebut, dan tidak ada usaha untuk menekan kabinet yang mereka duduki sendiri. Diam dan tunduk pada kehendak pemaju itulah sikap mereka sewaktu berkuasa. Tetapi selepas PN tumbang, barulah muncul kenyataan demi kenyataan kononnya kerajaan sekarang boleh membatalkan projek, kononnya mereka lebih prihatin terhadap nasib penduduk. Hakikatnya, inilah wajah hipokrasi politik PAS. Waktu berkuasa, mereka tidak peduli. Bila hilang kuasa, mereka mahu jadi hero murahan.

Lebih memalukan, kenyataan Tuan Ibrahim seolah-olah menggambarkan seakan-akan kerajaan sekarang sengaja membiarkan penduduk menderita, sedangkan beliau tahu pembatalan projek sebegini bukan semudah menekan suis lampu. Ia melibatkan undang-undang, kontrak, pampasan, dan implikasi besar yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan. Namun demi mencari populariti murahan, beliau memilih untuk bermain dengan emosi rakyat. Inilah taktik lapuk PAS dengan menabur kata-kata manis ketika di luar kuasa, sedangkan sewaktu berada di kerusi menteri mereka gagal melaksanakan apa yang hari ini mereka tuntut.

Lebih lucu lagi, Tuan Ibrahim yang menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian seakan-akan sibuk mahu jadi juara isu Kg Sungai Baru di Kuala Lumpur, sedangkan di kawasan sendiri rakyat hidup dalam keadaan daif, infrastruktur serba kekurangan dan pembangunan hampir tidak bergerak. Air bersih masih menjadi masalah asas di Kelantan, jalan-jalan berlubang menjadi pemandangan biasa, dan peluang ekonomi anak muda di Kubang Kerian tidak pernah dipedulikan. Jika benar beliau seorang pemimpin yang prihatin terhadap nasib rakyat, bukankah lebih baik beliau berjuang menuntut hak pengundi sendiri yang telah berpuluh tahun ditipu dengan janji pembangunan? Ironinya, pemimpin PAS lebih ghairah bersandiwara di pentas nasional, bercakap soal Kg Sungai Baru, tetapi menutup mata terhadap penderitaan rakyat sendiri di Kelantan.

Kg Sungai Baru hanyalah satu contoh daripada deretan kegagalan legasi PN. Rakyat masih ingat bagaimana ekonomi bercelaru ketika mereka memerintah, bagaimana keputusan dibuat tanpa perancangan teliti, dan bagaimana nasib rakyat bawahan tidak pernah menjadi keutamaan. Kini, apabila kesan daripada keputusan mereka sendiri mula menghimpit rakyat, mereka mahu melepaskan tangan dan menuding jari kepada kerajaan sedia ada. Inilah gaya politik tidak bertanggungjawab yang semakin menjerat PAS dan sekutunya.

Rakyat perlu sedar bahawa masalah Kg Sungai Baru bukan lahir daripada kerajaan hari ini, sebaliknya berpunca daripada persetujuan kerajaan PN yang rakus dan tidak telus dahulu. Jangan biarkan PAS dan Tuan Ibrahim memutar belit fakta demi menyelamatkan maruah politik mereka yang sudah tercalar. Kg Sungai Baru bukan pentas sandiwara untuk mereka mencari publisiti. Ia soal hidup rakyat, soal maruah penduduk, soal hak yang pernah mereka khianati sendiri. Jika benar PAS mahu menjadi pejuang rakyat, mereka sepatutnya mengaku salah dan meminta maaf, bukannya terus berpura-pura. Politik hipokrit sebegini mesti ditolak habis-habisan.

Inilah calon PM PAS yang benak!

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow