PAS Mula Tunjuk Taring, Sedia Rampas PN

Oleh : BARD
September 16, 2025 - 13:19 MYT
PAS Mula Tunjuk Taring, Sedia Rampas PN

Kenyataan wakil Dewan Pemuda PAS Pusat, Muhammad Faizudin Mohd Zai, yang disokong Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, benar-benar membuka pekung dalam kain PN. Bila mereka dengan yakin berkata “Rakyat sedang tunggu PAS rampas PN”, ia bukan lagi sekadar semangat muktamar, itu pengakuan terbuka bahawa PAS sudah mula bosan dengan Bersatu dan tak sabar mahu jadi raja mutlak dalam gabungan.

Sombong? Ya. Bongkak? Memang. Tapi inilah wajah sebenar PAS bila sudah merasa cukup kuat. Dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat, ditambah empat negeri di bawah genggaman, mereka sudah hilang rasa segan. Bersatu pula, yang kononnya parti teras PN, kini diperlekeh hidup-hidup oleh “rakan sekatil” sendiri.

Lebih pedas, Faizudin dengan selamba melabelkan PN sebagai “lemau, tepu, tiada hala tuju dan hilang fokus”. Itu bukan sekadar kritikan. Itu tamparan terus ke muka Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu. Bila PAS sendiri sudah mula mengejek PN sebagai lembik dan tak ada masa depan, mesejnya jelas: mereka sudah tidak percaya lagi kepada Bersatu.

Walaupun Pengerusi Tetap PAS meminta kenyataan itu ditukar kepada memperkasa, ia seperti "nasi menjadi bubur'. Kata-kata merampas itu sebenarnya impian PAS selama ini untuk menjadi abg long dikalangan gabungan PN.

Dan jangan lupa, perangai gelojoh PAS ini bukan benda baharu. Sejarah politik Malaysia sudah jadi saksi PAS pernah keluar Barisan Nasional selepas kenyang sebentar dengan jawatan, kemudian lari dari Pakatan Rakyat bila tak sehaluan dengan DAP dan PKR. Skrip sama kini sedang diulang. Bersatu sedang diperah habis-habisan, dan bila sampai masa, akan dibuang macam tisu pakai buang.

Apa yang berlaku hari ini hanya mengesahkan satu perkara: PAS bukan sahaja rakus kuasa, malah mereka tidak pernah tahu apa makna setia. Siapa sahaja yang boleh dijadikan kuda tunggangan akan dipeluk, tapi bila kuasa sudah dalam tangan, kuda itu akan ditendang keluar kandang.

Muktamar PAS kali ini bukan sekadar himpunan biasa, tapi pentas terbuka untuk menunjukkan taring sebenar mereka. Dan dari bahasa badan serta ucapan pemimpinnya, jelaslah Bersatu kini sedang diheret ke sudut paling hina dalam sejarah gabungan PN  sekadar boneka sementara menunggu masa untuk “dikorbankan”.

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow