UMNO 80 Tahun: Persepsi Negatif Meleset, UMNO Terus Kukuh
Tarikh 11 Mei ini UMNO akan menyambut ulang tahun ke-80 dan semestinya sebagai parti tertua di Malaysia ini UMNO telah melalui pelbagai liku-liku perjalanan yang cukup panjang.
Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa menjelaskan, sehingga hari ini walaupun persepsi di luar menyatakan UMNO akan terkubur, ditalkinkan dan sebagainya tetapi parti ini masih kekal relevan.
Jelasnya, meskipun UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya memiliki 30 kerusi di Dewan Rakyat, jumlah tersebut ternyata memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju pentadbiran kerajaan.
“Walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai 30 kerusi di Dewan Rakyat namun siapa sangka 30 kerusi yang menentukan kerajaan. Pada peringkat awal rakyat menganggap tiada harapan pada parti ini namun menjadi satu parti yang cukup diperlukan dalam pentadbiran kerajaan, dan Insya-Allah… UMNO akan bertahan sampai bila-bila.
“Pelbagai tuduhan yang dilontarkan oleh rakyat yang menyatakan UMNO tidak memperjuangakan isu-isu rakyat di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, tetapi hakikatnya UMNO sentiasa membawa isu-isu agama, bangsa dan negara.
“Sudah semestinya apabila agama, bangsa dan negara diusik maka akan mempertahankannya. Tidak benar yang menyatakan UMNO ini tiada asas perjuangannya. Perjuangan UMNO tidak pernah berubah dan terus mempertahankan agama, bangsa dan negara,” katanya.
Mengulas lanjut Ahli Parlimen Tampin itu berkata, penubuhan Rumah Bangsa telah membuka ruang kepada mereka yang pernah meninggalkan UMNO untuk menilai semula perjuangan parti dan kembali menyumbang tenaga serta pengalaman.
“Apabila Rumah Bangsa diwujudkan, ramai bekas-bekas ahli UMNO ingin kembali kepada parti ini. Mereka tahu dan telah melalui pelbagai parti bahawa UMNO yang paling konsisten memperjuangkan nasib rakyat.
‘Saya berterima kasih kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang menjemput kembali mereka yang sudah keluar daripada UMNO. Sambutan cukup menggalakkan seperti contoh di Negeri Sembilan,” jelasnya.
Tambah beliau, kepulangan beberapa pemimpin ke dalam UMNO bukan didorong oleh kepentingan peribadi, sebaliknya atas kesedaran untuk meneruskan perjuangan parti.
“Terdapat beberapa pemimpin telah kembali kepada UMNO, bukan untuk jawatan, laba tetapi untuk meneruskan agenda parti. Sudah pastinya kemahiran yang dimiliki oleh bekas-bekas ahli ini boleh membantu di dalam parti,” ujarnya.
Ujarnya lagi, perkembangan positif ini membuktikan bahawa UMNO masih relevan dan kekal menjadi wadah utama perjuangan rakyat, khususnya dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Apa Reaksi Anda?











