Tiga Agenda UMNO Demi Masa Depan Melayu

Oleh : BARD
Mei 5, 2026 - 12:00 MYT
Tiga Agenda UMNO Demi Masa Depan Melayu

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Dr. Mohd Fuad Tukirin menyifatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang pemimpin berjiwa besar yang sentiasa mendekati denyut nadi rakyat, selaras dengan hala tuju tiga agenda utama parti yang kini menjadi teras perjuangan UMNO.

Jelasnya, pendekatan yang dibawa Presiden UMNO itu bukan sahaja memperkukuh organisasi parti, malah mengangkat semula roh perjuangan UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa yang berpaksikan rakyat.

“UMNO adalah sebuah Rumah Bangsa, bukan sekadar parti politik, tetapi rumah besar bangsa Melayu dimana tempat berteduh, berhimpun dan menyusun kekuatan. Di sinilah lahirnya jatidiri, maruah dan masa depan bangsa yang mesti terus dipelihara.

“Jika rumah ini kukuh, bangsa akan berdiri megah. Jika rumah ini rapuh, masa depan akan goyah. Rumah ini bukan diwarisi untuk dibiarkan, tetapi dipertahankan untuk generasi yang akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan perbezaan pandangan dalam parti bukan satu kelemahan, malah menjadi ruang untuk melahirkan kepimpinan yang lebih matang dan berwibawa.

“Musyawarah Nasional adalah kekuatan UMNO, ia tidak terletak pada suara individu, tetapi pada kebijaksanaan musyawarah yang menyatukan hati. Dalam perbezaan pandangan, di situlah lahir kematangan kepimpinan.

“Musyawarah bukan tanda lemah, tetapi lambang kekuatan yang berteraskan hikmah dan kesepakatan. Hanya dengan duduk semeja, kita mampu berdiri sehati. Berselisih boleh, berpecah jangan kerana perpaduan adalah nadi perjuangan,” katanya lagi.

Seterusnya kata beliau lagi, Grand Collaboration bukan sekadar kerjasama biasa, sebaliknya menjadi jambatan masa depan yang menyatukan seluruh kekuatan dalam satu gerakan yang lebih tersusun, bersepadu dan berwawasan.

“Grand Collaboration adalah jambatan masa depan, menyatukan kekuatan demi memastikan kelangsungan bangsa. Kita tidak boleh berjuang secara bersendirian, tetapi mesti bergerak sebagai satu pasukan besar yang strategik dan berwawasan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama Fuad Tukirin turut menambah bahawa perjuangan 20 Tahun mendatang bukan hanya untuk hari ini tetapi untuk 20 tahun akan datang.

“Kita tidak boleh berjuang secara bersendirian, tetapi mesti bergerak sebagai satu pasukan besar yang strategik dan berwawasan. Matlamatnya jelas adalah untuk melahirkan pewaris bangsa yang bukan sekadar berilmu, tetapi berjiwa Melayu, berakar budaya dan teguh prinsipnya.

“Jika kita gagal membina generasi hari ini, kita sedang menggadai masa depan esok,” tegasnya.

Tegas beliau lagi, UMNO akan terus relevan selagi perjuangannya ikhlas, kepimpinannya berjiwa rakyat dan ahlinya setia tanpa berbelah bahagi.

“Setia, ikhlas, bersatu itulah nyawa UMNO, dulu, kini dan selamanya,” ujarnya lagi.  

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow