Pertambahan Ahli Tidak Jamin Kemenangan, PRN Sabah ‘Wake Up Call’

Oleh : BARD
Januari 16, 2026 - 12:00 MYT
Pertambahan Ahli Tidak Jamin Kemenangan, PRN Sabah ‘Wake Up Call’

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan pertambahan seramai 46,655 ahli pada 2025, menjadikan jumlah keseluruhan keahlian parti mencecah 3.525 juta.

Namun, kata beliau, angka tersebut perlu dilihat secara realistik kerana ahli tidak semestinya menjadi pengundi, dan pengundi tidak semestinya kekal bersama parti.

“PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah menjadi satu ‘wake up call’ terbesar buat kita semua. Kita memasuki gelanggang dengan keyakinan memiliki lebih 622,637 ahli, tetapi undi yang diterima hanyalah 144,584 undi.

“Pengajarannya, ahli bukan semestinya pengundi dan pengundi tidak semestinya kekal bersama kita.

“Sejarah politik Sabah mencatat tiga ‘exodus’ gelombang penghijrahan besar-besar, pada 2016 dengan penubuhan Parti Warisan, pada 2018 apabila sebahagian pimpinan menyertai PPBM, dan pada 2023 apabila sebahagian lagi berhijrah ke GRS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Laporan Tahunan Setiausaha Agung UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 sebentar tadi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Katanya trend penurunan ini bukan terhad kepada Sabah sahaja malah dalam tiga Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu iaitu ketika PRU13, PRU14 dan PRU15 pola yang sama berulang.

Menurut beliau realiti penghijrahan politik tersebut mesti dihadapi dengan berani, bukan sahaja di Sabah, tetapi di seluruh negara.

“Maka menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka, Johor dan seterusnya PRU16, kita wajib bertanya dengan jujur adakah pertambahan 46,655 ahli pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhannya 3.525juta, sudah cukup untuk menjamin kemenangan?

“Kesetiaan hari ini tidak boleh lagi dianggap automatik. Apabila nafsu serakah mengatasi prinsip, apabila kepentingan peribadi mengatasi amanah perjuangan, maka kita akan kehilangan nusrah Allah, walau seramai mana pun kita di atas kertas,” ujar beliau.

Tambah Dr Asyraf PAU adalah medan terbaik untuk bermuhasabah dengan tidak bermain dengan sentimen murahan, emosi tidak terkawal dan saling menunding jari.

“Dalam banyak keadaan kita cenderung untuk menyalahkan orang lain tetapi jarang sekali kita melihat kelemahan diri. Hakikatnya kita tidak mampu mengawal orang lain tetapi kita mampu mengawal, mencorak dan memimpin parti kita sendiri.

“UMNO telah melalui badai politik yang paling getir. Kita pernah melihat bagaimana perbezaan pandangan, jika tidak diurus dengan hikmah, akhirnya melahirkan perpecahan dan meninggalkan luka yang panjang dalam sejarah perjuangan kita,” katanya lagi. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow