Bersatu Di Bawah Sang Saka Bangsa, PAU 2025 Bermula

Oleh : BARD
Januari 16, 2026 - 10:00 MYT
Bersatu Di Bawah Sang Saka Bangsa, PAU 2025 Bermula

Tirai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 dibuka dengan penuh simbolik apabila bendera keramat parti, ‘Sang Saka Bangsa’ mula berkibar megah di perkarangan Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), pagi ini.

Bermula jam 8.00 pagi, upacara menaikkan bendera dimulakan dengan nyanyian lagu Wanita UMNO, diikuti Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO, yang disempurnakan oleh ketua-ketua pergerakan masing-masing.

Pengibaran ‘Sang Saka Bangsa’ kemudiannya disempurnakan oleh Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan iringan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, diiringi nyanyian lagu parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

Hadir sama menyaksikan upacara penuh bersejarah ini ialah Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), barisan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda, Exco Pergerakan Puteri UMNO serta para perwakilan dari seluruh negara.

Majlis kemudian disempurnakan dengan sesi bergambar MKT UMNO, barisan pemimpin Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO, Pergerakan Puteri UMNO, Skuad Sabil, Skuad Sayang 3K Kebangsaan dan Sekolah Patriotik UMNO yang turut menyertai acara perbarisan bagi memeriahkan acara tersebut.

PAU 2025 yang bermula sejak 14 Januari lalu menerusi Perasmian Perhimpunan Agung sayap-sayap parti telah menghimpunkan para perwakilan daripada 191 bahagian di seluruh negara, mencerminkan komitmen dan kesatuan jitu warga UMNO.

Upacara menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ ini menjadi pembuka tirai kepada Ucapan Dasar Presiden, sebelum diteruskan dengan sesi perbahasan para perwakilan sehingga 17 Ogos ini.

PAU 2025 diharap menjadi wadah penyatuan dan pemerkasaan parti, khususnya dalam memperkukuh semangat juang serta merangka strategi terbaik bagi meraih sokongan rakyat, terutamanya generasi muda.

PAU 2025 ini turut dimeriahkan dengan karnival jualan dengan banyak pilihan produk baik daripada pakaian hinggalah makanan, selain reruai pameran yang menempatkan pelbagai agensi dan kementerian yang menjadi tumpuan perwakilan, ahli serta pengunjung luar di aras 2 WTC ini.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow