Pemuda UMNO: Penyatuan Melayu Mesti Bermula Dari Dalam Parti

Oleh : BARD
Januari 16, 2026 - 09:00 MYT
Pemuda UMNO: Penyatuan Melayu Mesti Bermula Dari Dalam Parti

Pergerakan Pemuda UMNO menegaskan bahawa usaha menyatukan orang Melayu tidak boleh digerakkan secara luaran semata-mata, sebaliknya wajib bermula dengan keinsafan, keberanian dan penyatuan dari dalam parti.

Ketuanya Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Pemuda UMNO berpegang kepada prinsip yang jelas bahawa kekuatan parti adalah prasyarat utama sebelum UMNO mampu menjadi pemangkin kepada penyatuan Melayu yang lebih besar dan bermakna.

Menurutnya, UMNO perlu kembali menjadi sebuah wadah besar yang berjiwa besar, dengan membuka semula pintu parti seluas-luasnya kepada mereka yang masih setia dan menyayangi perjuangan UMNO, walaupun pernah disisihkan, digantung keahlian atau meninggalkan parti akibat perbezaan pandangan pada masa lalu.

“Saya dengan penuh kerendahan hati memohon agar pintu UMNO dibuka semula seluas-luasnya kepada mereka yang masih sayangkan perjuangan UMNO, walaupun mereka ini pernah dibuang, sedang digantung, atau meninggalkan parti akibat perbezaan masa lalu.

“Malah ada yang sehingga hari ini tidak menyertai mana-mana parti politik lain, satu bukti jelas betapa kasih dan setianya mereka kepada wadah perjuangan UMNO,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau merangkap Ketua UMNO Bahagian Jasin itu.

Dr Akmal berkata demikian dalam Ucapan Dasar Ketua Pegerakan Pemuda di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, wakil Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Faizal Ramli; Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; dan Datuk Hasmuni Hassan.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Dr. Akmal turut menegaskan bahawa perbezaan pandangan dan perselisihan adalah lumrah dalam sebuah parti besar, namun kebesaran sesebuah parti diukur melalui keupayaannya untuk memaafkan dan menyatukan kembali ahlinya.

“Perbezaan itu lumrah, perselisihan itu fitrah. Tetapi parti besar dinilai pada kebesaran jiwanya. UMNO hanya akan kembali kuat apabila kita berani memaafkan dan menyatu semula.

“Parti yang yakin dengan kekuatannya tidak takut kepada suara jujur, tidak gentar kepada kepulangan sesiapa, dan tidak goyah kerana perbezaan pandangan. Parti yang berpecah tidak punya kekuatan untuk menyatukan orang lain,” tegas beliau.

Tambah beliau lagi, Pemuda UMNO akan terus menjadi suara yang konsisten memperjuangkan penyatuan dalaman parti sebagai asas kepada kestabilan politik, kekuatan Melayu dan masa depan negara.

“Penyatuan Melayu mesti bermula dengan penyatuan UMNO. Letakkan ego di tepi, dan angkat parti ini dengan satu jiwa. Jangan biarkan sejarah mencatat UMNO rebah kerana kita gagal berdamai di dalam.

“Menyatukan bangsa tidak pernah mudah. Siapa yang menyangka bangsa boleh disatukan dengan singkat, sebenarnya tidak belajar daripada sejarah. Rasulullah mengambil 13 tahun di Makkah membina jiwa sebelum negara ditegakkan, dan selepas hijrah pun Baginda masih terpaksa mendamaikan Aus dan Khazraj yang hampir 120 tahun bermusuhan.

“Bangsa Melayu juga belajar dengan harga sejarah yang mahal. Melaka tidak rebah kerana meriam Portugis, tetapi kerana perpecahan dan khianat dari dalam. Penjajah tidak mencipta perpecahan; mereka hanya mengambil kesempatan,” katanya.

Jelas Dr Akmal lagi, atas rasional itu beliau menggagaskan idea ‘Tekad Ummah’ yang dimulakan dengan penyatuan dua parti terbesar orang Melayu, iaitu UMNO dan Pas, tanpa menutup pintu kepada penyertaan pihak-pihak lain.

“Tujuan saya menggagaskan ‘Tekad Ummah’ ini bukan untuk meraih saham politik. Tapi atas satu tindak balas kepada kebiadapan Dap. Satu tindak balas untuk menyatakan “cukup cukup sudah kita dibuli dan dikhianati”. Sudah tiba masanya Melayu benar-benar serius bergerak ke arah sebuah penyatuan.

“Saya tahu, menjayakan ‘Tekad Melayu’ ini bukan kerja mudah. Ada harga yang besar untuk dibayar, ada pengorbanan yang dituntut. Dan akan ada tekanan daripada pelbagai arah. Tetapi sejarah mengajar kita satu perkara – tiada penyatuan besar lahir daripada zon selesa. Jika kita benar-benar serius mahu menyatukan Melayu, maka kita mesti bersedia memikul risikonya, bukan sekadar bercakap mengenainya,” katanya.

Ujarnya lagi, Pemuda UMNO tidak mahu ‘Tekad Ummah’ ini kekal sebagai wacana atau slogan.

“Pemuda UMNO mahu ia diterjemahkan kepada tindakan. Kita akan membuka ruang seluas-luasnya, menjemput semua pihak tanpa mengira parti politik, latar belakang, atau sejarah silam untuk duduk semeja, bercakap secara jujur, dan mencari titik persamaan demi masa depan umat dan bangsa,” katanya.

Pemuda UMNO juga katanya akan menjadi penggerak utama menganjurkan Himpunan Tekad Ummah.

“Satu himpunan besar yang menghimpunkan parti-parti politik Melayu, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, pemikir, dan seluruh kelompok masyarakat yang berkongsi satu objektif iaitu merealisasikan penyatuan ummah sebagai agenda nasional.

“Ini bukan himpunan kebencian. Ini himpunan kesedaran. Dan Pemuda UMNO bersedia memimpin langkah ini, dari hadapan,” katanya.

Dalam ucapannya, Dr Akmal turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka berkuatkuasa minggu hadapan.

Dr Akmal memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang disandang sejak April 2023.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow