Dilabel Negeri Sekular, Syiar Islam Di Pahang Terus Di Perkasa

Oleh : BARD
April 24, 2026 - 16:07 MYT
Dilabel Negeri Sekular, Syiar Islam Di Pahang Terus Di Perkasa

PAS selalu melabelkan kerajaan negeri Pahang pimpinan YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tidak cukup Islamik kerana UMNO berkerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang mana ada DAP.

PAS semenjak sekian lama memang suka menunggang agama suka melabelkan parti UMNO dengan pelbagai gelaran, seperti kafir, liberal dan tidak Islamik.

Walaupun pentadbiran negeri Pahang digelar dengan pelbagai gelaran yang buruk, Pahang di bawah Wan Rosdy terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada rakyat dengan terus memperkasakan syiar Islam di negeri ini.

321 juta ringgit diperuntukan untuk syiar Islam dan kebajikan rakyat pada tahun ini. Jumlah peruntukan ini membawa makna yang besar di mana, kerajaan negeri Pahang sangat memberi tumpuan dalam aspek syiar Islam dan kebajikan demi kesejahteraan rakyat.

Saban tahun, peruntukan syiar Islam semakin meningkat. Ini membuktikan pentadbiran yang ada hari ini sangat bertanggungjawab melalui dasar dan tindakan.

Bantuan kepada jemaah haji, sokongan kepada institusi tahfiz, pembinaan dan penyelenggaraan masjid serta surau, bantuan kepada asnaf, muallaf, pasangan berkahwin semua ini bukan retorik politik. Banyak rakyat merasai sentuhan kasih yang telah dilakukan kerajaan negeri Pahang.

Namun, ada pihak masih mahu menjual cerita lama UMDAP, kononnya UMNO sudah hilang arah. Soalnya mudah, kalau benar UMNO sudah “hilang”, siapa yang memacu dasar Islam di Pahang hari ini? Siapa yang meluluskan peruntukan ratusan juta untuk syiar Islam? Siapa yang konsisten membantu umat tanpa memilih warna politik?

Jawapannya jelas, UMNO masih dominan di Pahang. Kerjasama dengan PH bukan bermaksud tunduk atau menggadai prinsip. Ia adalah strategi kestabilan politik demi memastikan pentadbiran berjalan lancar dan rakyat terus terbela. Dalam gabungan itu, UMNO tidak hilang suara, UMNOmasih  memimpin.

Yang paling kuat menjerit soal “Islam terancam” inilah yang sering gagal menterjemahkan perjuangan mereka dalam bentuk dasar yang menyentuh rakyat. Cakap berkobar-kobar, tetapi bantuan ke mana? Institusi agama bagaimana? Kebajikan umat di mana?

Di Pahang, kita tidak perlu menjerit untuk membuktikan kita Islamik. Kita buktikan dengan kerja yang bersistematik.

Jadi, persoalan sebenar bukan lagi siapa lebih lantang bercakap tentang agama. Persoalannya siapa yang benar-benar melaksanakan?

Dan di Pahang, jawapan itu semakin jelas.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow