Tuduh BN Angkuh Tidak Berasas, Fahami Realiti Politik Pasca PRU15
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil menegaskan bahawa tuduhan yang mengaitkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai angkuh adalah tidak berasas dan perlu dilihat dalam konteks realiti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut beliau, dakwaan tersebut tidak mencerminkan situasi sebenar landskap politik negara selepas PRU15 yang menyaksikan Parlimen tergantung dan memerlukan kerjasama pelbagai parti bagi membentuk kerajaan yang stabil.
“Selepas PRU15 yang menyaksikan parlimen tergantung, BN secara jelas adalah kingmaker mutlak. Bukan sahaja dari segi nombor yang mencukupkan majoriti Kerajaan perpaduan, malah memastikan suara bangsa Melayu mempunyai wakil majoriti di dalam kabinet.
“Keberanian BN mengambil ijtihad politik ini walaupun cuba digoda oleh blok yang satu lagi – akhirnya mewujudkan sebuah Kerajaan yang stabil bukan sahaja dari segi majoriti tetapi juga komposisi kaum,” katanya.
Fadzmel yang juga Setiausaha Akhbar kepada Ahmad Zahid menjelaskan bahawa peranan BN ketika itu perlu difahami sebagai sebahagian daripada proses pembentukan kerajaan gabungan, yang menuntut kompromi politik serta pertimbangan kestabilan pentadbiran negara.
“Dalam keadaan tiada parti yang memperoleh majoriti jelas, keputusan politik yang dibuat adalah berdasarkan keperluan membentuk kerajaan yang stabil dan berfungsi,” katanya.
Sebelum ini setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Mohd Kamil Munim, mengkritik kenyataan Ahmad Zahid dan menyifatkannya sebagai angkuh.
Mengulasnya, Fadzmel menegaskan bahawa tuduhan tersebut tidak mencerminkan realiti sebenar dan mengabaikan dinamika politik yang berlaku selepas PRU15.
“Sebelum nak kata Datuk Seri Zahid angkuh, sila hadam dahulu ilmu Sains Politik. Ya benar, BN cuma ada 30 kerusi. Tapi kenapa Datuk Seri Zahid mengatakan Kerajaan ini tidak akan wujud walaupun kerusi BN jauh lebih sedikit daripada PH?
“Ini kerana Datuk Seri Zahid sangat memahami teori pembentukan kerajaan gabungan (Coalition Theory) yang diperkenalkan oleh William H. Riker.
“Dalam teori ini, kestabilan sesebuah Kerajaan tidak hanya bergantung kepada siapa yang mempunyai kerusi terbanyak, tetapi siapa yang bertindak sebagai Paksi Segitiga (The Pivot Factor). “
Tambah beliau lagi, pembentukan Kerajaan Perpaduan ketika itu merupakan hasil rundingan pelbagai pihak yang bertujuan mengelakkan ketidaktentuan politik berpanjangan serta memastikan pentadbiran negara dapat diteruskan dengan stabil.
Apa Reaksi Anda?











