UMNO Kekal Utuh, Relevan Lalui Perjalanan 80 Tahun Perjuangan

Oleh : BARD
April 27, 2026 - 09:00 MYT
UMNO Kekal Utuh, Relevan Lalui Perjalanan 80 Tahun Perjuangan

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid menyifatkan UMNO kekal utuh dan relevan dalam melalui perjalanan perjuangan hampir 80 tahun dalam landskap politik negara.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berpandangan meskipun melalui pelbagai cabaran, parti keramat orang Melayu ini terus menjadi wadah perjuangan utama dalam memperjuangkan nasib rakyat serta kestabilan negara, katanya ketika Persidangan UMNO Cawangan Cheh Hilir yang berlangsung baru-baru ini.

“Alhamdulillah, kita dapat berhimpun dalam suasana yang damai, berangin dan santai. Satu suasana yang cukup harmoni bagi menjayakan Persidangan UMNO Cawangan Cheh Hilir yang berlangsung di perkarangan rumah “Cik La”, Ketua Wanita UMNO Cawangan Cheh Hilir.

“Dalam persidangan kali ini, saya berkesempatan membentangkan isu-isu semasa politik tanah air, khususnya berkaitan parti yang kita sayangi iaitu UMNO.

“Kita menyentuh perjalanan panjang parti yang telah menjangkau hampir 80 tahun, namun masih kekal utuh, relevan dan terus menjadi wadah perjuangan orang Melayu serta rakyat negara ini,” katanya.

Sementara itu Mohd Ariff turut sama memanfaatkan pertemuan tersebut dengan mengadakan perbincangan bagi membuka ruang kepada ahli-ahli untuk berkongsi pandangan sekaligus memperkemaskan gerak kerja di peringkat cawangan.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh kepimpinan dan ahli UMNO Cawangan Cheh Hilir atas komitmen serta kesungguhan dalam memastikan persidangan berjalan dengan lancar dan teratur.

“Semoga semangat yang ditunjukkan hari ini terus menjadi pemangkin untuk kita memperkukuh parti dan terus berkhidmat kepada rakyat,” ujar beliau.

Untuk rekod, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan diadakan bermula 1 April hingga 17 Mei 2026 manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 1 Jun hingga 12 Julai 2026.

Manakala Perhimpunan Agung UMNO pula akan diadakan pada 12 Ogos sehingga 16 Ogos 2026. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow