Sambutan Keahlian UMNO Menggalakkan, Cerminan Keyakinan Rakyat
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menyifatkan pendaftaran menggalakkan untuk menyertai UMNO sebagai perkembangan positif yang mencerminkan keyakinan rakyat.
Beliau berkata minat yang ditunjukkan khususnya generasi muda, tidak datang secara kebetulan sebaliknya didorong oleh rekod panjang perjuangan dan sumbangan UMNO sejak sebelum merdeka hingga ke hari ini.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata selain rekod perkhidmatan yang panjang, pendekatan parti yang semakin terbuka dan selari dengan perkembangan semasa turut memainkan peranan penting.
Jelasnya terdapat beberapa faktor utama yang menjadi tarikan kepada orang ramai untuk menyertai UMNO:
1) UMNO sudah menabur banyak jasa di semua sudut kehidupan di seluruh negara sejak sebelum Merdeka hingga kini. Jasanya boleh dilihat di sudut pendidikan, kemahiran, pekerjaan, industri, kesihatan, pembangunan bandar dan desa, syiar agama, pelbagai agensi wujud, membasmi kemiskinan, keharmonian kaum, prasarana rakyat dan macam-macam lagi.
2) Sepuluh orang Perdana Menteri PM1 hingga PMX adalah pemimpin atau bekas pemimpin UMNO. Semua TPM pula adalah tokoh-tokoh UMNO. Mereka semua telah dan sedang menabur jasa.
3) Menteri dan Timbalan Menteri UMNO sejak dulu hingga kini yang diketuai oleh Presiden dilihat gigih bekerja untuk rakyat dan memiliki tahap profesionalisme yang tinggi.
4) Ada tokoh-tokoh pemimpin UMNO kini yang tidak sombong dan disukai oleh orang ramai atas pelbagai sebab peribadi mereka atau rapat mereka dengan rakyat.
5) UMNO dilihat parti yang damai. Ketika orang lain pecat memecat, UMNO ada Rumah Bangsa yang terima dan menerima. Presiden berjiwa besar dan ini suatu anjakan paradigma dan game changer yang gemilang.
6) Pemimpin UMNO kurang berbalah sesama sendiri, tidak memaki hamun, kurang menjatuhkan imej parti di khalayak ramai, kelihatan tinggi disiplin dan tahap kesetiaan kepada Presiden, parti dan pimpinan utama di Negeri-negeri.
7) Rekod pencapaian Negeri di bawah pimpinan UMNO adalah cemerlang dengan pelbagai inisiatif dan pembangunan diberi untuk manfaat rakyat. Kita akur kalah negeri yang lain, namun dengan penuh sedar dan tawaduk, sedikit demi sedikit bangkit dan bangun kembali.
8) Parti UMNO parti akar umbi. Borang 9 kepada ROS kita hantar 22,000 naskah atas nama cawangan. Parti lain hanya atas 222 borang ikut kws parlimen. UMNO hadir atas nama 2 atau 3 kampung, 1 atau 2 taman, ada wujud setiap cawangan itu di seluruh negara kecuali Sarawak.
9) Ada ibu bapa yang ahli UMNO seramai lebih 3 juta orang itu telah meminta anak-anak mereka menyertai UMNO. Antara slogan kami ialah: “Keluargaku Ahli UMNO”.
10) Rakyat telah melihat semua parti diberi peluang memerintah negara ini. Namun ramai berpuas hati kepada UMNO dan BN kerana telah meletakkan prinsip rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan sebagai penanda aras pemerintahan yang utama dan pertama.
11) Ada pihak yang sudah memahami bahawa pimpinan UMNO telah dan sedang dizalimi dengan pelbagai tuduhan politik, namun walau tersiksa jiwa dan raga tetap mereka setia. Tidak ada seorang pun pimpinan yang turun naik mahkamah itu lari daripada UMNO atau hilang entah ke mana di luar negara kerana mereka yakin diri adalah tidak bersalah.
12) UMNO parti yang ada masa depan. Parti untuk orang muda memperjuangkan ABATA, Agama, Bangsa dan Tanah Air. Perlembagaan parti telah diperbaiki terutama asas dan tujuannya. UMNO untuk rakyat Malaysia, dulu, kini dan insya-Allah selama-lamanya.
Apa Reaksi Anda?











