UMNO 80 Tahun: Berpengalaman, Rekod Terbukti Terus Jadi Pilihan
UMNO disifatkan sebagai sebuah parti yang telah banyak melakukan perubahan dalam negara serta memiliki kepimpinan matang, ikhlas dan jujur dalam merealisasikan objektif perjuangannya.
Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, perjalanan panjang parti itu selama lapan dekad membuktikan keupayaannya dalam membentuk landskap politik dan pembangunan negara.
Menurut beliau, genap usia UMNO ke-80 tahun merupakan satu tempoh yang signifikan dengan pelbagai pengalaman yang telah menguji kekuatan serta ketahanan parti tersebut.
“Genap usia UMNO ke-80 tahun, sudah tentunya satu perjalanan yang cukup panjang dan melahirkan banyak pemimpin, dan pengalaman dalam kepimpinannya telah pun teruji melalui jatuh bangun parti ini.
“UMNO dapat kembali bangkit dan terus menjadi suara sebenar kepada rakyat, menyantuni denyut nadi rakyat dan tidak sekadar retorik,” katanya.
Tambah beliau, rakyat mempunyai keupayaan untuk menilai prestasi serta pengalaman yang dimiliki UMNO dalam menerajui negeri dan negara.
“Kita perlu merancang dan membuat satu tawaran dan kaedah yang jelas untuk membantu masyarakat agar kepimpinan yang ada hari ini dapat menepati cita rasa rakyat,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Ridhwan yang juga Presiden Belia 4B Malaysia menjelaskan perubahan ketara dalam cara berfikir dan pendedahan maklumat dalam kalangan anak muda perlu diberi perhatian serius oleh kepimpinan parti.
“Generasi sekarang ini amat berbeza dengan generasi masa penubuhan UMNO, sudah tentu kepimpinan akan memberi perhatian yang khusus pada golongan ini.
“Anak muda hari ini bukan sahaja lebih terdedah kepada arus globalisasi, malah mempunyai akses luas kepada maklumat yang membentuk pemikiran lebih terbuka dan kritis.”
Dalam masa yang sama beliau turut mendoakan agar perjalanan lapan dekad UMNO terus menjadi simbol khidmat bakti parti tersebut kepada rakyat dan negara.
“Saya mendoakan lapan dekad ini menjadi manifestasi UMNO terus berkhidmat dan menaburkan baktinya untuk rakyat serta lebih ramai yang mempunyai semangat membantu negeri dan negara dapat bersama-sama untuk melakarkan kejayaan 80 tahun ke hadapan,” ujarnya.
Apa Reaksi Anda?











