Adun Jengka Jangan Bermain Politik Dengan Bantuan Rakyat
Kenyataan Adun Jengka YB Shahril Azman dalam Sidang DUN Pahang berhubung isu peruntukan dan bantuan kerajaan negeri kepada kawasan pembangkang jelas memperlihatkan cubaan untuk mempolitikkan kebajikan rakyat.
Kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail tidak pernah menafikan bantuan kepada rakyat hanya kerana perbezaan politik. Bantuan tetap disalurkan, program tetap berjalan dan kebajikan rakyat tetap diberi keutamaan.
Apa yang paling penting ialah bantuan sampai kepada rakyat yang memerlukan, bukannya siapa yang menyerahkan bantuan tersebut. Jangan jadikan soal penyampaian bantuan sebagai isu politik murahan sedangkan rakyat di bawah memerlukan tindakan dan penyelesaian.
Kerajaan negeri juga mempunyai hak untuk melantik sesiapa sahaja sebagai wakil rasmi kerajaan bagi menyampaikan bantuan atau menghadiri program di sesuatu kawasan. Itu adalah kuasa pentadbiran kerajaan yang memerintah. Tidak ada mana-mana undang-undang yang mewajibkan bantuan kerajaan mesti disampaikan oleh wakil rakyat pembangkang.
Pihak pembangkang sendiri seolah-olah lupa amalan yang berlaku di negeri mereka. Apakah di Kelantan dan Kedah tidak wujud pelantikan penyelaras DUN oleh kerajaan negeri? Bukankah amalan melantik penyelaras atau wakil kerajaan di kawasan tertentu sudah lama dilakukan?
Jadi jangan bersikap hipokrit. Bila perkara sama dilakukan oleh pihak sendiri, dianggap normal. Tetapi apabila kerajaan negeri Pahang melaksanakan pendekatan pentadbiran yang sama, terus dimainkan sentimen kononnya tidak adil.
Kerajaan negeri Pahang hari ini memilih untuk fokus bekerja dan menyampaikan bantuan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik. Itu jauh lebih penting daripada retorik politik yang hanya mahu mencari simpati di dalam dewan.
Apa Reaksi Anda?











