Hina TMP, Empat ADUN Pahang Lapor Polis
Tindakan biadab menghina Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang susulan titah Diraja baru-baru ini tidak boleh dibiarkan berleluasa tanpa tindakan.
Memetik laporan Pahang Media hari ini, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional Pahang tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan sebagai tanda pendirian tegas mempertahankan Institusi Diraja Negeri Pahang daripada sebarang penghinaan dan fitnah politik.
ADUN Kemayan, YB Khaizulnizam Mohamad Zuldin menegaskan bahawa tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba memperlekehkan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Menurut beliau, budaya menghina Institusi Raja-Raja Melayu semakin membimbangkan dan tidak boleh dinormalisasikan atas nama politik atau kebebasan bersuara.
Sementara itu, ADUN Chini, YB Dato’ Mohd Sharim Md Zain berkata, titah Diraja yang dizahirkan sempena Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini adalah demi kepentingan rakyat dan pembangunan Negeri Pahang, bukannya untuk dijadikan bahan sindiran oleh pihak tertentu.
Beliau menegaskan bahawa ADUN-ADUN Barisan Nasional akan terus berdiri mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu serta menangkis segala bentuk penghinaan terhadap Institusi Diraja.
Dalam masa sama, ADUN Inderapura, YB Dato’ Sri Shafik Fauzan mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan permainan politik sempit yang cuba memutarbelitkan titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Katanya, titah tersebut jelas menyentuh soal kesejahteraan rakyat dan pembangunan Negeri Pahang yang memerlukan perhatian adil daripada Kerajaan Persekutuan.
Institusi Raja bukan medan politik murahan.
Mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kebencian terhadap Institusi Diraja wajib dikenakan tindakan tegas demi mempertahankan maruah dan kedaulatan Negeri Pahang.
Apa Reaksi Anda?











