UMNO 80 Tahun: Raikan Dengan Sifat Rendah Diri, Bermuhasabah
Podcast ‘Hitam Putih Kelabu’ yang dimoderatorkan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, menampilkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengingatkan pemimpin dan ahli parti agar meraikan ulang tahun UMNO ke-80 dengan penuh rendah diri serta bermuhasabah.
Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi membugar semula idealisme perjuangan parti yang kini menghampiri lapan dekad usianya.
“80 tahun ini penting untuk kita raikan dengan sifat kerendahan diri dan melakukan proses muhasabah. Ini penting kepada parti, untuk kita kembali memugar idealisme parti yang harus bertunjangkan kepada asas-asas perjuangan sebenar.
“UMNO ini digagaskan atas semangat persaudaraan yang tinggi untuk kita memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air. Itu perjuangan yang paling asas. Kalau kita dapat menjiwainya … dengan merealisasikannya berasaskan cogan kata kita yang penting, bersatu, bersetia dengan perjuangan dan juga berkhidmat.
“Ini kerana tidak guna kita bercakap berdegar-degar sebagai pejuang parti tetapi kita jauh dengan rakyat. Tradisi kita senantiasa berkhidmat, membela rakyat untuk memberikan makna kepada kehidupan mereka,” katanya.
Tambahnya, untuk memastikan UMNO kekal relevan, semua pihak perlu mengenepikan ego dan berganding bahu bagi menguatkan semula parti pada masa hadapan.
“Itu juga yang diterjemahkan melalui para pemimpin UMNO yang menerajui kementerian mahupun agensi-agensi. Itu DNA kita … apa jua yang menteri-menteri kita lakukan, sentiasa kita mengorientasikannya untuk rakyat.
“Jika itu yang kita semangati dan fahami, maka pemugaran idealisme perjuangan perlu diterjemahkan dalam erti kata sebenar – dengan jiwa yang besar, penuh kerendahan diri, tidak sombong, tidak angkuh dan tidak ego, serta tidak menafikan bahawa kita juga mempunyai kelemahan.
“…dan kita sanggup untuk memperbaiki kelemahan kita. Demi rakyat, demi perjuangan. Kalau itu yang difahami, saya yakin Insya-Allah UMNO akan terus kekal relevan,” katanya lagi.
Untuk rekod, UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 hasil daripada penyatuan orang Melayu yang bangkit menentang penubuhan Malayan Union yang mengancam kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak orang Melayu.
Dipelopori oleh Datuk Onn Jaafar, penubuhan UMNO menjadi titik tolak kepada gerakan nasionalisme Melayu yang tersusun dan berpengaruh. Parti ini kemudiannya memainkan peranan penting dalam rundingan kemerdekaan bersama pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, sehingga membawa kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.
Sepanjang lapan dekad, UMNO terus menjadi antara tunjang utama dalam pembentukan negara bangsa, memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta menyumbang kepada kestabilan politik dan pembangunan negara.
Ulang tahun ke-80 ini menjadi detik penting untuk mengenang sejarah perjuangan parti, memperkukuh semangat perpaduan dan merencana masa depan yang lebih inklusif serta berdaya tahan.
Apa Reaksi Anda?











