Mohamad Zaini Tekankan Kesatuan Akar Umbi UMNO, Seru Bangkit Lebih Kukuh
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Dato' Sri Mohd Mohamad Zaini Salleh menyeru seluruh ahli parti agar mengambil peluang semasa untuk memperkukuh semula kekuatan UMNO melalui semangat perpaduan dan keikhlasan perjuangan.
Beliau menekankan bahawa pendekatan “Rumah Bangsa” wajar dijadikan asas untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan ahli, termasuk mereka yang pernah meninggalkan parti sama ada kerana digantung, dipecat atau memilih haluan berbeza sebelum ini.
Menurutnya, UMNO kini berada pada fasa penting untuk bangkit semula dengan lebih tersusun dan bersedia menghadapi cabaran politik masa depan.
“Ini adalah masa terbaik untuk kita tinggalkan perbezaan lama dan fokus kepada masa depan. Kekuatan parti mesti dibina atas kesatuan dan kepercayaan antara satu sama lain,” katanya.
Tambah beliau, usaha penyatuan itu bukan sekadar simbolik, tetapi perlu diterjemahkan melalui gerak kerja yang konsisten di peringkat akar umbi.
Seiring dengan musim persidangan cawangan yang sedang berlangsung, beliau menggesa ahli parti agar memperkukuh organisasi di peringkat tersebut kerana ia merupakan asas kepada kekuatan UMNO secara keseluruhan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan kepentingan untuk terus mendekati rakyat dan memahami keperluan mereka tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik.
“UMNO perlu terus hadir bersama masyarakat melalui program kemasyarakatan. Jangan sesekali meminggirkan rakyat hanya kerana perbezaan pandangan,” ujarnya.
Beliau optimis bahawa dengan kesatuan yang kukuh dan komitmen bersama, UMNO mampu kembali menjadi lebih kuat serta relevan dalam landskap politik negara.
Terdahulu, beliau telah menziarahi seorang aktivis masyarakat tempatan, Ahmad Mustaza Mohamad, 71, yang kini uzur di ruamhnya.
Bersama beliau dalam sesi ziarah tersebut ialah, Pengerusi JPKK Kampung Tok Muda Hamdan Yusop, Timbalan Ketua UMNO Cawangan, Mohamad di samping Ustaz Radziyuddin Sulaiman serta Datuk Yeop Munir.
Ujarnya, ziarah tersebut mencerminkan keprihatinan kepimpinan parti terhadap kebajikan masyarakat setempat, khususnya individu yang banyak berjasa dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Marilah kita berdoa semoga beliau diberikan kesembuhan oleh Allah SWT.”
Apa Reaksi Anda?











