Rumah Bangsa Perkasa UMNO, Keterbukaan Dan Keahlian Atas Talian Perkukuh Perjuangan
Menjelang ulang tahun ke-80 penubuhan UMNO, kepimpinan di peringkat bahagian terus menzahirkan komitmen untuk memperkukuh agenda “Rumah Bangsa” sebagai wadah perpaduan secara keseluruhan, di samping memperluaskan keterbukaan parti dalam era digital.
Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi, berkata perjalanan UMNO yang kini mencecah lapan dekad membuktikan daya tahan parti itu dalam menghadapi pelbagai cabaran politik, sosial dan perubahan zaman.
Beliau berkata, konsep Rumah Bangsa membawa makna yang lebih besar daripada sekadar slogan, sebaliknya ia adalah komitmen berterusan UMNO untuk memastikan setiap lapisan masyarakat berasa dihargai, didengar dan dilibatkan dalam proses pembangunan negara.
“UMNO adalah Rumah Bangsa. Di dalam rumah ini, tiada siapa yang dipinggirkan. Kita menghimpunkan kekuatan, menyusun semula semangat dan memastikan perjuangan ini terus relevan untuk semua generasi,” katanya.
“Idea Rumah Bangsa adalah langkah terbaik dilakukan kepimpinan parti bagi memperkukuh UMNO malah ia kemasukan tanpa syarat terbuka kepada semua lapisan masyarakat Melayu/Bumiputera khususnya bekas ahli yang sebelum ini meninggalkan kita,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa UMNO yang telah berdepan pelbagai cabaran sentiasa berusaha mendekati rakyat dengan pendekatan yang lebih inklusif, segar dan relevan, termasuklah yang terbaru melalui pemodenan sistem keahlian secara atas talian.
“Kita tidak lagi bergerak secara konvensional semata-mata. Transformasi keahlian secara atas talian adalah bukti bahawa UMNO bersedia berubah mengikut kehendak zaman. Usaha digitalisasi keahlian UMNO bukan sahaja memudahkan proses pendaftaran ahli baharu, malah memperkukuh jaringan akar umbi parti di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Dengan sistem atas talian, kita membuka ruang yang lebih luas kepada generasi muda untuk bersama UMNO. Ini penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti terus kukuh untuk 80 tahun yang akan datang,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan cabaran yang dihadapi UMNO sebelum ini sebagai proses pematangan yang menguatkan semangat perjuangan ahli-ahli parti.
Katanya, UMNO perlu terus mengekalkan prinsip keterbukaan, mendengar suara rakyat dan memperkukuh perpaduan dalaman sebagai asas kekuatan utama.
“Cabaran adalah sebahagian daripada perjalanan kita. Apa yang penting ialah bagaimana kita bangkit, memperbaiki diri dan terus menjadi parti yang dekat di hati rakyat,” ujarnya lagi.
Apa Reaksi Anda?











