SPU Lahirkan Pemimpin Pelapis, Berjati Diri – Wan Rosdy
Naib Presiden UMNO, Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata penubuhan Sekolah Patriot UMNO (SPU) merupakan satu usaha strategik parti dalam melahirkan pemimpin pelapis yang berkualiti dan mempunyai jati diri yang kukuh.
Beliau berkata idea penubuhan SPU telah lama dibincangkan, namun hanya dapat direalisasikan selepas beliau diberikan tanggungjawab oleh Presiden UMNO untuk melaksanakannya.
“SPU ini adalah ilham Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan saya telah mendengarnya sejak sebelum menjadi Naib Presiden, tetapi tidak dapat direalisasikan ketika itu.
“Pelaksanaan SPU bukan sesuatu yang mudah, dan apabila tanggungjawab ini diminta oleh Presiden untuk saya melaksanakannya, saya fikir bukan satu perkara mudah sebenarnya. Oleh sebab itulah saya berbincang dengan rakan-rakan, kita lihat bagaimana model di negara lain.
“Kita ke Indonesia untuk melihat model latihan parti di sana, kemudian kita ke beberapa negara lagi untuk meneliti pendekatan mereka. Kita balik, kita bincang. Akhirnya kita laksanakan. Saya beritahu kepada rakan-rakan semua, kita buat dulu mengikut acuan kita. Andainya ada kelemahan di sana-sini, kita akan baiki kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi podcast #HitamPutihkelabu yang disiarkan menerusi Facebook UMNO-Online, sempena Ulang Tahun UMNO Ke-80 pada 11 Mei depan.
Podcast berkenaan dihoskan Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang seterusnya berkata hasil pemerhatian dan perbincangan bersama rakan kepimpinan, SPU akhirnya berjaya dilaksanakan dengan pendekatan tersendiri.
Mengulas lanjut, beliau berkata tujuan utama penubuhan SPU adalah untuk melahirkan pemimpin pelapis masa depan yang mampu menggantikan kepimpinan sedia ada serta mempunyai kekuatan jati diri dan kesetiaan kepada parti.
Katanya, pengalaman selepas kekalahan parti sebelum ini memberi pengajaran apabila terdapat pemimpin yang tidak mempunyai ketahanan dan semangat juang yang tinggi.
“Ada pemimpin yang kita angkat, tetapi apabila kita kalah, semangat jati diri mereka tidak cukup kuat. Ini sangat mengecewakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan SPU menjadi platform penting untuk membentuk pemimpin yang mampu bangkit walaupun berdepan cabaran.
“Kita mahu lahirkan pemimpin yang walaupun jatuh, tetap bangkit semula dan terus setia kepada perjuangan parti,” katanya.
Beliau berkata setakat ini empat kumpulan peserta telah mengikuti program SPU dan menunjukkan semangat yang tinggi serta berbeza berbanding pendekatan latihan biasa.
“Silibus SPU juga tidak terdapat di mana-mana universiti kerana ia lebih menumpukan kepada pembinaan karakter dan realiti politik,” katanya.
Menurutnya, maklum balas yang diterima juga amat positif dan permintaan untuk menyertai program berkenaan terus meningkat sehingga ke pengambilan kumpulan kelima.
“Saya melihat tidak mustahil satu hari nanti akan lahir pemimpin negara daripada kalangan pelajar SPU,” katanya.
Apa Reaksi Anda?











