Konvensyen Khas Pemuda UMNO: Dr Akmal Yakin Kepimpinan Tidak Abai Suara Akar Umbi

Oleh : BARD
Januari 5, 2026 - 10:00 MYT
Konvensyen Khas Pemuda UMNO: Dr Akmal Yakin Kepimpinan Tidak Abai Suara Akar Umbi

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan parti tidak akan mengabaikan suara akar umbi.

Ini kerana katanya, Konvensyen Khas Pergerakan Pemuda UMNO yang diadakan untuk membincangkan hala tuju parti dalam Kerajaan Perpaduan telah berjaya mendapatkan suara sebenar akar umbi.

“Alhamdulilah Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang membincangkan mengenai hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan telah kita jalankan. Kita pun dah panggil wakil daripada negeri-negeri untuk berucap dan kita buka juga peluang kepada para hadirin yang datang untuk bersuara.

“Alhamdulilah kita dapat lihat beberapa usul dan juga cadangan telah dinyatakan dalam konvensyen ini yang bertujuan untuk dapatkan suara akar umbi yang sebenar. Kita akan bawa tanpa ada ‘solekan’ terus kepada Majlis Kerja tertinggi (MKT), seterusnya diabsahkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung dalam masa terdekat.

“Konvensyen ini adalah sejajar sebab ada yang mempersoalkan bahawa adakah ini suara akar umbi ataupun Dr Akmal mahupun Pergerakan Pemuda UMNO sahaja? Jadi, sebab itulah konvensyen ini diadakan. Hari ini saya rasa sudah tiba masanya untuk akar umbi bersuara.

“Sudah tiba masanya kita kena bersuara tentang soal realiti, apakah penerimaan orang Melayu khususnya terhadap kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan hari ini,” katanya pada satu sidang media yang diadakan sempena Konvensyen Khas Pemuda UMNO pada Sabtu.

Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, UMNO/Barisan Nasional (BN) telah melaksanakan tugas sebagai menteri dan timbalan menteri dengan cemerlang sepanjang tiga tahun bersama Kerajaan Perpaduan.

“Sebelum konvensyen tadi kita telah dibentangkan dengan hasil kajian daripada badan bebas, bukannya daripada Pemuda. Sebabnya kalau kita bentangkan daripada Pemuda, mungkin ia akan sedikit ‘berat sebelah’. Tetapi ini hasil daripada badan bebas yang telah dibentangkan dan kita tengok realiti itu adalah sama dengan dapatan sebelum ini.

“Sehubungan itu, saya percaya dengan apa yang telah berlaku sepanjang tiga tahun… bukan kita tak bagi peluang. Saya percaya akar umbi memang semuanya terasa hati tetapi tetap memberikan ruang untuk kita melaksanakan kerjasama dengan jayanya.

“Alhamdulilah, menteri-menteri UMNO/BN yang berada dalam Kerajaan Perpaduan pun telah melaksanakan tugas dengan baik dan ini telah disahkan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli sendiri. Tetapi, hari ini sedikit demi sedikit daripada tiga tahun yang sudah kita dapat tahu bahawa akar umbi ini tidak selesa,” katanya lagi.

Tambahnya, sikap biadab segelintir pemimpin Dap mempersenda ‘garisan sempadan’ yang mereka telah persetujui telah menyebabkan akar umbi semakin tidak berpuas hati dengan kerjasama dibentuk.

“Apabila ada kebiadaban daripada pemimpin-pemimpin Dap itu sendiri seolah-olah hari ini mempermainkan maruah kita… seolah-olah hari ini perjuangan tentang agama, bangsa dan negara oleh UMNO yang kita sedia maklum bahawa prinsip UMNO ini tidak pernah berubah waima dengan siapa pun kita berkawan.

“Sebab itu kita dah cakap… Presiden pun dah ulang di PAU yang pertama setelah Kerajaan Perpaduan ditubuhkan bahawa kita telah meletakkan satu garisan bahawa jangan disentuh perkara-perkara yang sensitif iaitu agama, bangsa dan Raja-Raja Melayu.

“Tetapi, apabila semakin disentuh dan diuji maka perkara ini mencetuskan ketidakpuasan hati akar umbi di bawah. Jadi, saya percaya dengan adanya konvensyen ini, kita luahkan segalanya dan saya harap agar semua suara ini dapat didengar dan akan dimuktamadkan keputusannya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa segala usul yang dibawa ke konvensyen tersebut akan turut diabsahkan pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO yang akan berlangsung pada 14 Januari ini.

“Betul, memang konvensyen ini tidak menentukan sama ada UMNO nak keluar atau tidak (dari Kerajaan Perpaduan) tetapi sekurang-kurangnya konvensyen ini berterus-terang daripada akar umbi terus ke peringkat atas.

“Saya percaya kepimpinan parti tidak akan mengabaikan suara akar umbi yang ada pada hari ini. Insya-Allah kita harapkan konvensyen ini, kita akan maktubkan semua usul selain daripada kita bawa ke MKT, kita juga akan absahkan dalam Perhimpunan Agung Pemuda yang akan berlangsung pada 14 Januari ini. Seperti kita sedia maklum, ‘the ultimate power’ dalam Perlembagaan UMNO adalah PAU,” katanya lagi. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow